Assalamualaikum... The owner of this blog is R.I.M.A D.A.N.I.A would like to thank you to all the viewers from all over the world.. Never felt hesitate to come again.. I'm always welcoming every single viewers and appreciate it..(^^,)

Monday, July 21, 2008

DOAKU UNTUK ADAM

DOAKU UNTUK ADAM
NUKILAN: RIMA DANIA

Dara.com Edisi November 2008


Subuh baru saja melabuhkan sayap lalu dengan pantas aku bangun ke bilik air meskipun mata ini masih berdegil mahu tidur. Sudah biasa dengan air panas bila tinggal di Kuala Lumpur, maka air dalam kolah terasa begitu sejuk mencengkam badan sehingga menggeletar kedua-dua kepala lututku.

Selesai mandi, aku terus mengambil wuduk. Kedengaran suara emak memanggil namaku. Semalam aku sudah berjanji mahu mengikutnya ke surau bagi menunaikan solat subuh berjemaah.

Hampir 10 kali emak memujukku. Akhirnya aku akur kerana bukan selalu dapat solat berjemaah di surau apatah lagi subuh hening begini. Telekung dilipat kemas lalu aku menyumbatnya ke dalam beg. Baju kurung putih berbunga kuning cair menjadi pilihanku. Tudung bawal putih terletak cantik di kepala.

“Cantiknya anak mak ni.” Tiba-tiba emak menegur sambil mencuit bahuku.

“Biasa-biasa aje, mana ada cantik pun anak mak ni.” Aku membalas.

“Marilah, kita dah lambat.” Emak mengatur langkah di hadapan.

Kelihatan ramai jemaah sudah mula memenuhi ruang-ruang yang ada. Hanya ibu-ibu tua dan bapa-bapa yang berumur saja datang berjemaah. Tiada seorang pun gadis mahupun jejaka-jejaka harapan yang sudi bersama di surau ini. Sungguh merugikan seandainya aku juga turut sama seperti mereka, mendahulukan nafsu tidur dari solat.

Aku mengambil tempat di sisi emak. Takut terpisah pula nanti memandangkan aku dah lama tak pulang ke kampung. Ada juga mata-mata yang mencuri memandang anak Hajjah Mariyah. Akulah orangnya. Badan mula rasa tak selesa bila asyik diperhatikan.

Pandangan mereka kubalas dengan senyuman semesra yang mungkin. Di sebalik tabir hijau yang memisahkan antara bahagian lelaki dan perempuan, kedengaran suara Pak Imam. Aku terus bangun berdiri dan bersedia mengabdikan diri pada Illahi.

Terasa syahdu pagi-pagi begini. Jarang merasa keinsafan yang mula menyelinap seluruh hati. Alunan ayat-ayat Al-Quran dari bibir Pak Imam sungguh menenangkan. Aku cuba khusyuk dalam ibadahku.

“Anak kamu ke Kak Yah?” Mak Som bertanya pada emak.

“Ya, dia anak aku yang duduk kat Kuala Lumpur tu. Dia memang dah lama tak balik kampung.” Emak menjawab pertanyaan Mak Som.

“Dah besar rupanya anak kamu ni. Kerja di mana?” Masih mahu bertanya.

“ Cikgu sekolah rendah aje Mak Som.” Aku menjawab dengan pantas.

“Dia ni ustazah sebenarnya.” Emak tersenyum bangga lalu menjeling ke arahku. Aku tersengih malu.

“Untungnya kamu Kak Yah, dapat anak-anak yang berjaya. Anak yang lelaki jadi doktor, yang perempuan jadi ustazah pula. Molek benar kalau dapat jadi menantu aku.” Mak Som ketawa besar lalu meminta diri untuk pulang ke rumah.

Awal-awal lagi emak dah pesan bahawa dia ingin singgah ke warung Pak Hussin. Katanya mahu membeli nasi lemak dan karipap kentang untuk di buat sarapan pagi.

Aku hanya mengekori emak dari belakang. Warung Pak Hussin masih seperti dulu, tiada yang berubah. Beratapkan zink dan papan-papan kayu tetap kukuh berdiri. Kemesraan penduduk kampung juga tidak berubah. Riuh mereka bermain dam dan membaca surat khabar.

Masing-masing sibuk bertukar pendapat tentang isu semasa. Adakala mereka bercanggah pendapat sehingga ada yang menarik muka masam. Namun keadaan itu tidak berlarutan bila Pak Hussin memujuk untuk memberikan secawan kopi percuma.

Rasa nak tergelak pula dengan perihal masing-masing. Merekalah warga emas yang setia berada di kampung ini. Warga emas yang berjaya membesarkan anak-anak dengan hasil menoreh getah dan bercucuk tanam. Ada juga yang pencen dari menjadi guru.

Pak Hussin dengan baik hati telah membancuh dua cawan kopi percuma buat emak dan aku. Katanya dia sudah lama tak nampak aku pulang ke kampung sejak aku putus tunang dengan Dr.Irsyad anak ketua kampung hampir tiga tahun yang lalu.

Pertanyaan tentang Dr. Irsyad tidak lagi kujawab melainkan senyum, senyum dan senyum. Biarlah segalanya menjadi rahsia antara aku dan Dr.Irsyad sendiri. Jejaka itu pun sudah berumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata perempuan yang sangat comel.

Kami memutuskan ikatan ini dengan cara baik, tanpa sebarang pergaduhan. Malah, aku masih bersahabat dengan Dr.Irsyad dan isterinya, Dr.Sarah. Mungkin sudah jodoh Dr.Irsyad dengan gadis berpangkat doktor sepertinya.

Aku mengenali jejaka itu sejak kecil lagi. Dia teman sepermainan, teman memancing, mandi sungai, panjat pokok dan mencuri buah rambutan Nek Mah yang baru meninggal setahun yang lalu. Pertunangan kami juga diatur keluarga tanpa pengetahuan kami berdua. Sepanjang Dr.Irsyad belajar di Mesir, dia sudah mempunyai pilihan sendiri iaitu isterinya sekarang.

Dia seorang anak yang baik lalu menerima aku sebagai tunangnya tanpa banyak kata. Benarlah kalau sudah jodoh, akhirnya Dr.Irsyad memutuskan pertunangan kami dan memilih isterinya Dr.Sarah. Kini aku hanya menganggap dia sebagai abang sahaja dan tidak lebih dari itu.

“Apa yang kamu menungkan tu Shazeey?” Emak menyentuh lembut bahuku lalu kenangan itu berlalu pergi.

“Mana ada termenung, ada-ada aje mak ni. Sha teringat pada anak-anak murid tu, entah buat ke tidak kerja sekolah yang Sha bagi.” Aku terpaksa menipu.

“Banyak ke kerja yang kamu bekalkan untuk anak-anak murid kamu tu?” Sememangnya emak tidak dapat meneka segala kenangan yang ada di benakku.

“Banyaklah juga sampai tujuh muka surat semuanya. Sha bukan nak dera budak-budak tu tapi Sha buat begitu supaya mereka pandai. Sha bangga kalau anak-anak didik Sha berjaya dalam pelajaran. Walaupun Sha ni ajar Pendidikan Islam, tapi Sha nak mereka semua bagus dalam semua subjek.” Tuturku tak ubah seperti seorang guru.

Kopi panas sudah lama terhidang di hadapanku. Perlahan-lahan aku menghirupnya. Aku memandang emak yang sedang sibuk memilih karipap dan nasi lemak untuk di bawa pulang.

“Mak, lepas ni kita balik rumah.” Aku menghabiskan kopi secepat mungkin.

“Baiklah, tolong bawa karipap ni sekali. Mak nak bayar dulu.” Arahan emak aku turuti. Kusambut bungkusan karipap yang terasa hangatnya.

Setibanya di rumah, mataku mula terasa mengantuk. Bantal berisi kekabu kupeluk. Baru lima minit melelapkan mata, kedengaran seseorang memberi salam dari luar. Hatiku tertanya-tanya siapakah gerangan suara pemuda itu.


“Sha, siapa yang datang tu?” Jerit emak dari arah dapur.

“Entahlah, Sha baru aje nak tidur.” Aku membalas dengan malas lalu bangkit menyarung tudung.

“Pergilah tengok, tak baik tetamu tunggu lama-lama kat luar.” Memang itulah pesanan emak bila ada tetamu datang. Dia tak suka menyusahkan tetamu.

Aku melangkah malas. Lipatan tudung juga ala-ala kadar sahaja asalkan aku dah menutup aurat. Tombol pintu kupulas lalu kelihatan seorang pemuda sedang berdiri tegak di atas anak tangga.

Dia tersenyum memandangku lalu aku membalas dengan penuh debaran. Di tangannya ada bungkusan plastik.

“Assalamualaikum...” Pemuda itu cepat-cepat memberi salam.

“Waalaikumsalam, nak cari siapa?” Aku cuba mengalihkan pandangan dari merenung anak matanya yang berwarna coklat pekat.

“Saya datang nak hantar bubur sum-sum. Semalam ada buat kenduri aqiqah anak buah yang pertama. Ini ada lebihan dari kenduri semalam. Awak ni anak perempuan Mak Yah ke?” Ramah juga pemuda berkulit sawo matang yang masih berdiri di hadapanku.

“Ya, saya anak Mak Yah. Terima kasih banyak-banyak sebab susah-susah aje hantar sampai ke sini. Awak ni anak siapa?” Aku menyambut huluran bungkusan plastik itu dari tangannya.

“Saya anak Pak Imam kampung ni.” Pemuda itu menunjukkan arah rumahnya yang tidak jauh dari rumahku.

“Ini mesti Imam yang barukan? Tiga tahun lepas orang lain. Maaflah, lagipun saya dah lama sangat tak balik kampung. Selama ni pun harapkan abang yang tolong jenguk-jenguk emak.” Aku mula berceloteh panjang.

“Selama tiga tahun ni, awak langsung tak balik ke?” Pemuda itu bertanya dengan nada terkejut.

“Saya tak balik sini tapi sebulan sekali mak akan datang ke rumah saya di Kuala Lumpur.” Jawabku dengan harapan tiada salah faham berlaku. Aku tidak mahu pemuda itu menganggap aku anak derhaka atau anak yang melupakan orang tua.

Tiba-tiba kami terdiam seketika. Mungkin masing-masing sedang menyusun pertanyaan lain atau sememangnya sudah kehabisan idea. Aku mencuri-curi membetulkan tudung yang tak kemas.

Sapaan emak membuatkan kami berdua terperanjat. Kakiku berundur perlahan-lahan ke belakang memberi laluan kepada emak yang tersengih sejak dari tadi.

“Siapa nama anak kakak kamu tu?” Emak melabuhkan punggung di muka pintu.

“Amni Hudani aje.” Jawabnya ringkas. Sedap juga nama bayi perempuan itu.

“Ada maksud tak nama anak kakak kamu?” Emak masih mahu bertanya lagi.

“Eh, mestilah ada Mak Yah. Maksud Amni ialah aman manakala maksud Hudani pula damai. Bila digabungkan jadilah aman damai. Sedapkan nama anak buah saya tu.” Pemuda itu tersenyum bangga. Aku tertarik dengan sikapnya yang sayang pada bayi malah menunjukkan dirinya yang penuh dengan kelembutan.

Sudah dua hari berlalu dan aku tidak nampak lagi bayang pemuda yang masih tidak kuketahui namanya. Bila aku bertanya pada emak, mesti emak perli. Emak kata yang aku dah suka pada pemuda itu.

Biarlah siapa pun namanya tapi suara pemuda tersebut saling tak tumpah dengan suara lelaki yang selalu mengimamkan kami bila solat subuh. Tempoh hari juga merupakan suara yang sama.

Esok petang aku akan pulang ke Kuala Lumpur. Masih banyak tugas yang harus aku laksanakan. Emak meminta aku pulang minggu hadapan tapi aku menolak baik kemahuan emak. Aku tak sanggup tinggalkan kerja-kerja itu di rumah.

Sebelum pulang esok, lebih baik aku menghabiskan masa dengan emak sepuas-puasnya. Kami bersembang di atas pangkin kayu hasil buatan tangan ayah. Ayah yang pergi meninggalkan aku, emak dan abang. Ayah yang memusnahkan kebahagiaan kami dan yang merobek hati emak setelah menikahi isteri baru lalu kami ditinggalkan tanpa berita.

Alhamdulillah aku bukan seorang yang membenci lelaki meskipun ditinggal ayah, diputuskan pertunangan. Aku masih berfikiran terbuka. Bukan semua lelaki itu tidak bertanggungjawab atau miskin kasih sayang.

“Sha, umur kamu dah meningkat. Bulan depan genaplah usia 29 tahun. Bila kamu nak cari pengganti Dr.Irsyad? Kalau boleh, biarlah emak dapat lihat anak emak ni diijab kabulkan di hadapan emak. Mana tau esok lusa Allah dah panggil emak, tak dapat emak nak tengok Sha jadi pengantin.” Kata-kata emak membuatkan aku tersentak sehingga air mataku menitis tanpa dapat ditahan.

“Jodoh Sha belum sampai mak. Maafkan Sha banyak-banyak.” Aku menggenggam tangan emak yang terasa kedutannya. Ya! Emak sedang meniti hari-hari tuanya.

“Emak minta kamu balik Kuala Lumpur lewat sedikit sebab perkara berkenaan jodoh.” Emak menggelap air mataku yang masih mengalir di pipi.

“Jodoh??” Aku merenung wajah emak dalam-dalam.

“Kamu ingat lagi tak lelaki yang datang hantar bubur sum-sum ke rumah kita tempoh hari?” Pertanyaan emak menyentap kesedihanku. Tiba-tiba aku jadi berdebar-debar.

“Anak Pak Imam...” Aku tidak pernah melupakan wajah pemuda itu sejak pertama kali kami bertemu.

“Mak cik Salmah, ibu Adam Shukri telefon mak malam tadi. Dia bertanya tentang Sha. Dia kata kalau boleh minggu depan nak hantar rombongan meminang. Lagipun, mak berkenan juga dengan si Adam tu. Lulusan kejuruteraan, boleh jadi imam yang bagus, bertanggungjawab.”

“Imam?? Dia ke yang selalu imamkan kita bila solat subuh?” Hatiku berkocak gembira yang teramat.

“Dialah orangnya, bapa borek anak rintik. Kamu sudi ke? Cuma umurnya..” Emak memandang jauh ke arah rumah jiran.

“Muda dari Shazeey ke mak? Sha tak kisah sangat asalkan boleh memimpin sudah.” Aku memberi tanda isyarat setuju.

“Taklah, dia sebaya dengan Sha. Pandai-pandai aje kata dia muda.” Emak tergelak besar lalu memelukku dengat erat.

Suasana petang ini sangat tenang dan aman. Rasa seperti bermimpi pun ada. Mana tidaknya baru bertemu dengan pemuda bernama Adam Shukri, aku pun terus bertemu dengan jodoh. Sejauh mana hubungan kami akan berterusan atau aku terus menerima nasib ditinggalkan, aku tak pasti.

Doaku buat ayah yang meninggalkan aku ketika aku memerlukan kasih sayangnya, doaku buat Dr.Irsyad yang memutuskan pertunangan kami dengan memilih Dr.Sarah dan doaku buat Adam Shukri yang bakal menjadi tunangku, semoga kalian berada di bawah naungan Rahmat dan kasih sayang dari Allah s.w.t. Kalianlah para adam yang akan melindungi para hawa yang lemah. Ameen...

No comments:

NOTES

NOTES
Jom LIKE page ANNADARLING di Facebook dan nantikan hanya yang exclusive dan terbaik insyaallah dari kami <3