SEJODOH BAGAI CINCIN
Nukilan : Rima Dania
Dara.com Edisi March 2008
Kau berjaya menambat seluruh jiwaku yang selama ini cuba dimiliki oleh Encik Izzat. Tanpa disedari, aku berdiri disismu dengan penuh harapan mendamba secebis kasih. Bayu lembut membisikkan nada kesabaran kerana suatu hari nanti kau pasti terjaga dan tahu kehadiran insan yang menyintaimu.
Saat yang ditunggu tidak menjelma tetapi ditimpa pula ujian. Hatiku sering berkira-kira haruslah perasaan ini diteruskan atau biar sahaja ia berlalu. Seseorang telah cuba merampas rasa kasihku untukmu. Aku tidak mampu menghalang kerana dia adalah ADIKKU. Dia teramat menyayangimu Raffiq !
Kita mungkin dipertemukan atas nama sahabat bukan kekasih. Biar kusimpan rahsia hati untuk tatapan sendiri. Hujan renyai turun membahasi bumi. Begitu juga hati ini yang dilanda kesedihan . Aku dengan rela melepaskan kau demi Salina.
“Makanlah, kenapa termenung?”
“Kenyang.”
“Aku ajak kau keluar makan sebab dah lama kita tak keluar
berdua macam ini.”
“Betul, aku kenyang.”
“Hem….apa kena dengan kau Rumaisha ?”
“Mana ada apa-apa. Aku okey aje.”
Selama 4 tahun kita bersama, kau asih belum mengerti gerak-geri dan tingkah lakuku yang cuba meluahkan isi hati ini. Sepasang baju melayu kuhadiahkan ketika menjelang hari jadimu yang ke-26. Sepasang baju batik yang kubeli di Terengganu ketika ada tugasan disana. Harta benda tidak mampu membeli cinta. Menyatakan dengan lisan aku tak berdaya. Aku selalu berharap kau akan ketahui betapa aku mahu menggapai cintamu itu.
“Tolong kirimkan bunga ni dan kirim salam pada Salina. Lagi satu,
pesan pada dia jangan merajuk lagi. Raffiq minta maaf.”
“Baiklah.”
“Jangan kau buang pulak. Mahal aku beli tadi.”
Aku tak lupa Raffiq bahawa kau adalah teman lelaki adikku. Bila aku lihat kau berkorban membahagiakan Salina, aku terasa manisnya hubungan itu.
10 Mac tahun lalu, tidak luput dalam ingatanku. Salina kubawa bertemu denganmu kerana aku mahu kau mengerti insan istimewa dalam hidupku. Satu-satunya permata hati yang menghiburkan diri dikala duka. Tiada adik-beradik lain. Papa pergi meninggalkan kami 8 tahun yang lepas. Mama mengisi kekosongan papa. Siapa lagi yang akan mencurahkan kasih sayang pada mereka jika bukan aku.
Pertemuan itu membibitka rasa cinta antara kau dan Salina. Aku berundur atas landasan kasih sayang itu. Kamus hidupku tiada erti benci dan dendam. Hatiku penuh dengan rasa berserah. Kadang-kadang aku tipu diri sendiri. Kuselami jiwa ini dan namamu masih di situ. Cintaku masih tidak mahu beralih.
“Akak, Alin beruntung dapat Raffiq.”
“Alin suka sangat merajuk, nanti dia tak terpujuk baru tahu. Jaga
dia baik-baik sebab sekarang ni susah nak cari orang macam
Raffiq.”
“Alin buat macam tu pun sebab nak uji dia.”
“Kalau setakat dia dah lama tak bawa Alin keluar makan, jangan
uji dia sampai tak angkat telefon bila dia buat panggilan. Dia nak
pujuk Alin sampai kena beli bunga. Tak senonoh adik akak ni.”
Aku mendakap Salina. Terpalit kegembiraan itu padaku. Senyuman terindah diukirkan untukku. Selagi Raffiq dan Alin bersama, kakak tak akan padam semua memori ceria antara kamu berdua. Itulah janjiku………
“Esok akak tak perlu jemput Alin balik dari kolej sebab Raffiq nak
bawa Alin keluar jalan-jalan.”
“Baiklah, tapi janji jangan balik lewat.”
“Alin janji.”
“Belikan akak hadiah sebab rahsiakan perkara ni dari mama.”
“Jangan takutlah, Alin mesti belikan sesuatu untuk akak.”
Hari ini hatiku rasa tidak tenteram. Kerja yang diberikan kubuat sambil lewa sehingga majikan mahu memotong gajiku. Nasib baik ada orang datang membela. Encik Izzat anak majikanku beriya-iya mahu membantu. Aku tahu kau ada hati padaku tetapi cintaku bukanlah untukmu.
“Maisha okey?”
“Saya okey. Pergilah sambung kerja awak tu, saya tak ada apa-
apa masalah.”
“Bagi pihak ayah saya, saya mohon kemaafan atas tindakannya
tadi.”
“Jangan risau, saya tak ambil hati,”
“Saya belanja Maisha makan tengahari sebagai tanda
kemaafan.”
“Suka hati Encik Izzatlah. Saya ikut saja.”
Semua itu alasan. Hampir setiap hari kau pelawa aku. Cuma, diri ini tidak mahu menerimanya. Degupan jantung semakin kencang semasa kami sedang mencari tempat makan. Terpancar di wajah Encik Izzat satu kepuasan kerana berjaya membawaku keluar makan. Sukar mencari gerai yang kurang pelanggan terutama di kawasan sebegini.
“Ramai orang makan di gerai. Tempat duduk pun penuh.”
“Berhati-hati bawa kereta tu. Budak-budak berlari-lari ke sana
sini.”
“Ya, Cik Rumaisha. Saya dah bertahun-tahun bawa kereta,
bukan baru semalam dapat lesen.”
“Bergurau pula dia.”
Entah kenapa tiba-tiba kami ketawa sakan. Kelakar juga Encik Izzat. Selalunya ketika mesyuarat atau apa saja tugasan berkaitan dengan kerja, dia sangat serius orangnya. Nak tengok dia senyum pun susah apatah lagi bergurau atau ketawa seperti saat ini. Untung juga dapat lelaki macam dia tetapi aku masih belum boleh menerima orang lain selain Raffiq. Aku nencuri pandang wajahnya……………
“Allahuakbar!”
“ Kenapa ni?”
“Saya terlanggar orang….”
“Habis macam mana ni? Saya dah pesan bawa kereta berhati-
hati.”
“Tunggu sini biar saya tengok.”
………………………………………………………………………………………………
Genap seminggu Salina koma dan terlantar di atas katil di sebuah hospital swasta. Tak sangka dia mangsa kelalaian aku dan Encik Izzat. Maafkan kakak Alin. Selain mama setia menanti di sisi katil, kau pula sanggup bermalam di hospital. Alangkah baiknya hatimu Raffiq. Doktor mengesahkan kemungkinan besar Salina akan hilang ingatan. Gajiku yang tidak sebesar mana tidak mampu menanggung bil hospital. Separuh kau bayar, separuh lagi Encik Izzat tanggung.
“Saya nak minta maaf Maisha.”
“Sudahlah, hari-hari saya dengar kemaafan dari Encik
Izzat. Saya redha dan terima segalanya.”
“Harapan saya hanya satu. Berilah saya peluang kedua
untuk mencuri hati awak Rumaisha. Jangan biar saya
bertepuk sebelah tangan.”
“Saya tak pasti sama ada ruang untuk Encik Izzat masih
ada dalam hati ini.”
Raffiq muncul lalu kami membiarkan saja topik tadi tergantung.
“Maaf menganggu. Aku harap kau sabar Rumaisha.”
“Apa kau cakap ni Raffiq.”
“Alin dah tak ada lagi. Dia dah pergi tinggalkan kita
semua.”
“Alinnnnnnnnn…” Aku rebah dan pandanganku menjadi
kelam.
Jenazah Salina aku tolong mandikan. Kain kapan terbentang di ruang tamu. Aku tak berupaya melihat semuanya. Mama pesan yang inilah bantuan terakhir dariku untuk Salina. Gulungan kapas ku carik dan susun di atas kain kapan. Jenazah Salina diletak di atasnya. Pucat dan lesu. Terlalu besar dugaan kali ini. Jika Salina rajin menciumku, kini giliran aku pula membalas ciuman kasih sayang itu. Wajahnya ditutup kemas. Selamat tinggal sayang…
13 Mac. Sudah setahun Salina pergi. Aku masih bekerja dengan Encik Izzat dan mama pula sudah semakin pulih dari memanggil-mangil dan meratapi kematian Salina. Sekarang aku tinggal seorang diri kerana mama menetap di kampung menjaga nenek yang uzur. Jika mama tinggal di sana, dia mudah untuk menziarahi pusara Salina yang berdekatan dengan masjid di rumah nenek.
Setiap hari Sabtu, aku dan Raffiq akan meluangkan masa bersama. Tentang cinta? Mula kabur, tenggelam dibawa arus nota-nota pahit. Tak sanggup aku meneruskan rasa cinta itu. Seperti seorang kakak yang mengambil peluang atas kematian adiknya sendiri. Aku seorang kakak yang setia pada janji meskipun hati luka berdarah.
“Aku dapat tahu kau akan bertunang dengan Encik Izzat. Betul
ke?”
“Bila kau dengar berita ni?”
“Jawab soalan aku dulu.”
“Ya,memang betul.”
“Tahniah dari aku. Harap kau berbahagia.”
Dihadapanmu, aku menumpahkan kaca jernih. Jika benar cintaku hanya tinggal sisa, mengapa air mata ini begitu murah mengalir? Kau pula sering mengalihkan pandangan dan pura-pura tidak nampak.
“Rantai ni untuk kau.”
“Takkan cepat sangat kau bagi hadiah pada aku. Tunggulah
sampai minggu depan masa hari pertunangan tu.”
“Salina yang beri, bukan aku. Ketika kemalangan berlaku, rantai
ni ada dalam genggaman dia. Tak sempat nak bagi. Jadi, aku
simpan dan sekarang aku serahkan pada kau.”
“Dia ada janji nak beri aku sesuatu sebab tolong rahsiakan
hubungan kau orang daripada pengetahuan mama.”
“Patutlah mama kau terkejut tengok aku bersusah-susah
bermalam di hospital semata-mata nak jaga Salina.”
“Mama tak suka anak-anak dia bercinta masa tengah belajar.”
“Simpan rantai ni baik-baik.”
“Bolehlah aku pakai masa majlis pertunangan nanti.”
Wajah sayu yang kau balas. Gugur akhirnya air matamu yang bergantungan dari tadi. Sudah tentu kerana Salina dan tidak benar sama sekali air mata itu tumpah untuk aku, mahupun untuk hari pertunanganku.
Cinta mampu diganti tetapi tidak nyawa. Kau pasti tetap dengan cinta sucimu untuk Salina. Aku tidak layak mengganti takhtamu wahai adikku. Walau kerlipan mata kita serupa, iras wajah yang sama manisnya, darah yang mengalir dalam tubuhku darahmu juga, namun cinta lain coraknya dan kau pula lain warnanya.
Kuketuk pintu hati dan terus bertanya lagi. Sisa-sisa namamu Raffiq masih ada saki-bakinya.Payah melupakan cinta pertama. Lagi seminggu rombongan meminang dari keluarga Encik Izzat akan tiba di rumahku. Aku masih keliru dengan diri sendiri. Benarkah aku menyintai Encik Izzat atau sekadar mahu melupakan cintaku pada Raffiq.
“Mak saya suruh kita pakai baju warna putih.”
“Kenapa warna putih?”
“Putih tu warna bersih dan suci. Begitulah cinta saya untuk
awak.”
Aku tak pasti mampukah aku membalas cinta seistimewa itu. Kali ke berapa air mata ini tumpah ke bumi, aku tak tahu. Bila aku dan Encik Izzat keluar membeli barang persiapan pertunangan kami, mataku dengan mudah mengalirkan air mata. Sepatutnya aku gembira, bukannya kecewa.
Mulai minggu hadapan aku tak dapat meluangkan masa bersamamu lagi. Aku dah jadi milik Encik Izzat. Tidak wajar tunangan orang lain keluar menghabiskan masa dengan seseorang yang cuma bergelar sahabat. Mungkin sekali-sekala kita boleh pergi berkelah di tepi pantai. Aku pasti akan ditemani oleh Encik Izzat.
“Kau datang hari Sabtu ni. Jadi tetamu VIP.”
“Tengoklah dulu.”
“Jangan kecewakan aku. Kau diwajibkan datang.”
“Penerbangan aku ke Jepun kebetulan sama dengan majlis kau
berlangsung. Tiket dah beli, membazir pula kalau aku tak pergi.”
“Aku minta kali ini saja kau raikan aku. Lepas tu, kalau kau nak
lupakan dan tinggalkan aku buat selama-lamanya pun
tak mengapa.”
Lantas aku meninggalkan Raffiq bersendirian. Aku tak faham kenapa kau sengaja dan sanggup ke Jepun pada hari bahagiaku sedangkan bukan atas dasar kerja. Kau berwang, Raffiq. Bila rasa nak memencilkan diri, kapal terbang mampu bawa kau kemana saja destinasi yang diinginkan. Suaramu memanggil-manggil namaku tiada erti, melainkan kau hadir pada hari yang kupinta.
Sepuluh ekor ayam disembelih, seperiuk besar nasi dijerang sudah, kuah dalca sesedap rasa dan kuih-muih pelbagai jenis telah terhidang. Orang kampung sudi datang bergotong-royong membantu membuat persiapan. Meriah sungguh hari ini.
Aku menanti Encik Izzat di kamar puteri kuning keemasan. Baju kebaya putih yang ditempah khas cantik dan sesuai. Pipi mama basah melihat anak daranya sudah dewasa. Andai Salina masih ada, dialah orang yang paling gembira.
Bebola mataku tidak terlepas dari mencari kelibatmu. Sampai hati kau buat aku tertunggu-tunggu akan kedatanganmu. Selakkan langsir akibat ditiup angin memudahkan aku mencuri pandang tetamu di luar.
Bila-bila masa saja Encik Izzat akan tiba bersama rombongannya. Wajah paling ceria cuba diukirkan tetapi tetap tidak berjaya. Hatiku menangis sayu seolah-olah meratap pemergian orang yang disayangi. Aku harus ingat bahawa hari ini adalah hari istimewa untuk diraikan, bukan untuk ditangisi.
Deruman beberapa buah kereta menandakan mereka sudah tiba. Kusambut kedatangan mereka seperti mayat Salina yang terbujur kaku. Oh Tuhanku, leraikan segala kekecewaan ini. Berikan aku kekuatan untuk menghadapinya.
“Maisha, ada SMS dari Raffiq.”
“Terima kasih, mama.”
Perlahan-lahan kubuka SMS yang diberi.
Assalamualaikum, semoga berbahagia di hari pertunanganmu.
Aku harap kita bersedia menghadapi dugaan di hari mendatang
bersama-sama.
Apa maksud kau? Aku tak mengerti. Malas membalas semula mesejnya, kubiar saja di atas meja solek. Teman dan sepupu perempuan sudah mula memenuhi bilikku. Senyuman mereka lebih indah dariku.
“Mak si lelaki dah nak sarungkan cincin.”
“Apa dia? Saya tak dengar.”
“Mak si lelaki dah nak sarungkan cincin. Kau tu masam
macam cuka. Senyumlah sikit.”
“Maaf mak long.”
Aku tundukkan muka. Kubiarkan cincin disarung. Rela menjadi milik insan yang tidak kuketahui sama ada aku mampu memberi cinta ini padanya. Arus air mata deras mengalir dan membasahi baju. Mak long menarik tanganku meminta aku duduk di sebelah seorang lelaki berbaju melayu putih. Aku tahu, dia Encik Izzat.
“Kenapa Encik tutup muka? Takkan malu…….”
“Siapa Encik Izzat? Ni akulah.”
“Raffiq!”
“Tak suka aku datang?”
“Suka, tapi kenapa mak long suruh aku duduk sebelah
kau?”
“Mak cik yang sarung cincin kat jari kau tu, mak aku.”
“Hah!”
“Sebenarnya……….”
Segalanya dijelaskan oleh Raffiq. Encik Izzat tahu bahawa aku tidak akan bahagia jika menjadi pasangannya. Lelehan air mata membuktikan aku tidak bersedia untuk orang lain melainkan Raffiq. Dia dengan sudinya mengundurkan diri dan melepaskan aku pada Raffiq kerana dia percaya bahawa Raffiq mampu membahagiakan aku.
Setiap detik aku berdoa agar ikatan ini berkekalan dan Raffiq tidak lagi meninggalkan aku sendirian. Bila cinta yang diimpikan sukar untuk digapai, terasa payah dan putus asa. Namun nikmatnya bila kita berjaya kecapi. Ujian Tuhan mematangkan dan menjadikan aku insan yang lebih bersyukur manakala pertunangan ini satu hadiah bernilai atas kesabaran dan ketabahan diri ini.
-THE END-
No comments:
Post a Comment