Assalamualaikum... The owner of this blog is R.I.M.A D.A.N.I.A would like to thank you to all the viewers from all over the world.. Never felt hesitate to come again.. I'm always welcoming every single viewers and appreciate it..(^^,)

Wednesday, May 4, 2011

CINTA TIMBA CARI PERIGI

EDISI DARA.COM 2010

RIMA DANIA

Semangat untuk terus mengejar cita-cita semakin membara di dada. Ayra Maisha mengimpikan kejayaan yang dapat mengubah nasib keluarganya. Ya! Keluarganya yang jauh di kampung. Ayra mahukan yang terbaik untuk abah, emak, kak ngah dan adik. Mereka semua harus keluar dari kepompong kemiskinan. Harapkan warung usang milik emak dan abah, apalah yang mampu mereka beli selain dari makanan seharian.

Meskipun sibuk dengan dunia belajar yang sentiasa membuatkan Ayra tertekan dan penat, namun jauh di sudut hatinya, dia ingin dimiliki oleh sesiapa. Sesiapa yang dimaksudkan adalah seorang lelaki yang sempurna. Sempurna dengan bijak akal fikiran, rupa paras yang sekadar sedap mata memandang, akhlak yang baik dan disenangi oleh semua serta keimanan yang setia kuat dalam diri.

Siapalah dia, hanya Ayra Maisha seorang gadis biasa yang penuh serba kekurangan dalam diri. Dia tahu bukan mudah merealisasikan impiannya yang ingin memiliki segala cirri yang ada pada jejaka hatinya. Mungkin akan wujud dan mungkin ada cuma dia perlu mencari di mana jejaka itu berada.

Berada dalam lingkungan kawan-kawan yang sudah berpunya, Ayra tidak pula rasa merendah diri. Dia bersyukur kerana diberi peluang untuk terus menumpukan sepenuhnya terhadap pelajaran dan terus berusaha mengejar cita-cita. Benar! Dia beruntung kerana belum ketemu jejaka hatinya saat ini. Ah!! Terdetik juga rasa cemburu sekali-sekala. Sukar diusir rasa itu kerana dia juga gadis remaja.

“Kau tak mahu cari sesiapa jadi teman di IPT ni? “ Kata-kata Zaara sudah biasa didengarnya.

“Zaara, kau ni suka sangat tanya aku soalan macam ni. Kenapa, ya?” Ayra pula bertanya.

“Saja nak kacau kau tapi... Semalam...” Zaara sengaja menggantungkan ayatnya lalu segera mengambil tuala untuk mandi. Tujuannya hanya sekadar mahu mengusik Ayra.

Segera Ayra berlari ke arah pintu dan menghalang Zaara dari keluar bilik. Dia ingin tahu apa yang cuba dirahsiakan oleh teman baiknya itu. Zaara hanya tersenyum manja memandang anak mata sahabatnya. Dia ingin Ayra bermain perasaan dan biarlah Ayra berteka-teki dalam hati.

Zaara segera menolak Ayra dan berlari ke bilik air tanpa menoleh belakang. Dia perlu segera mandi kerana malam ini, dia dan Zariff sudah berjanji untuk makan bersama di cafe asrama. Begitulah rutin Zaara dan Zariff bila mereka mempunyai masa lapang tanpa sebarang tugasan dari pensyarah.

Seusai solat, Ayra kembali menyelak buku subjek usahawan yang baru dipinjam dari perpustakaan pagi tadi. Dia perlu melihat contoh-contoh untuk membuat Rancangan Perniagaan. Tidak terlalu sukar untuk menyediakan Rancangan Perniagaan sekiranya dia mampu mencari ahli kumpulan yang bersemangat dan berdisiplin dalam membuat kerja. Pen dan kertas kosong dicapai lantas dia menyenaraikan nama teman-teman yang ingin dijadikan ahli kumpulan.

Zaara, Sakinah, Athirah dan Hidayah sangat sesuai dan Ayra yakin bahawa mereka berlima mampu bekerjasama dengan baik bagi menyiapkan Rancangan Perniagaan untuk projek akhir semester mereka.

Pagi yang cerah membuatkan Ayra bersemangat untuk menghadiri kuliah. Baju kurung putih berbunga ungu lembut ditambah pula dengan tudung bawal putih menambahkan seri Ayra Maisha. Zaara juga memuji penampilan teman sebiliknya itu. Ayra kelihatan lebih berseri hari ini.

“Apa kurangnya kau, Zaara. Mesti Zariff pun suka tengok kau tiba-tiba je nak pakai tudungkan.” Ayra membalas pujian Zaara.

“Kau juga yang tolong aku lilitkan selendang ni. Kalau tak, mesti aku jadi The Mummy.” Gadis kacukan melayu dan cina itu tersenyum memandang wajahnya di cermin.

“Yelah Cik Zaara, cepat... Kita dah terlambat ni.” Ayra mengatur langkah keluar dari bilik lalu berjalan menuruni anak tangga dengan pantas. Mereka ada sepuluh minit saja untuk tiba di kelas.

Tiada yang berbeza sesi kuliah hari ini. Mereka mendengar dan mencatat apa yang telah disampaikan oleh pensyarah perakaunan mereka. Sekali-sekala ada yang memicit kepala kerana pening untuk memahamkan topik baru ini.

Selepas kuliah tamat, Ayra dan Zaara segera ke kantin. Mereka terasa lapar dan perut mereka perlu diisi. Sakinah, Athirah dan Hidayah pula tidak dapat turut sama kerana ada hal lain yang perlu diselesaikan.

Sambil mengunyah popiah sambal kegemarannya, Ayra terdetik untuk bersuara lantas bertanyakan tentang Geng PCT atau lebih dikenali dengan Geng Perigi Cari Timba. Dia merapati Zaara lalu

“Aku dengar, Sakinah, Athirah dan Hidayah join Geng PCT. Betul, ke?” Tanya Ayra dengan nada suara yang amat perlahan.

“Memanglah, dah lama budak bertiga tu join. Kau baru tahu ke?” Zaara menyuap sesudu lagi nasi goreng kampung ke dalam mulut.

“Patutlah mereka semakin sibuk dengan teman lelaki masing-masing. Senang juga mereka dapat teman lelakikan. Aku jugak yang tak ada.” Ada sedikit nada sedih lahir dari bibir Ayra.

“Mereka yang berusaha cari lelaki dan bila mereka rasakan lelaki itu sesuai untuk menjadi teman, maka mereka lahirkan perasaan cinta pada lelaki pilihan mereka. Bukan lelaki yang datang melamar mereka. Lagi pun zaman dah berubah. Isu perigi cari timba tu sudah menjadi perkara biasa. Ada yang berakhir dengan perkahwinan dan ada yang terputus di tengah jalan.” Panjang lebar Zaara berkata-kata namun itulah kebenaran yang perlu Ayra tahu.

“Hmm... Aku nak Geng TCP, cinta timba cari perigi. Bolehkan?” Ayra bertanya namun tidak dijawab Zaara.

Kata-kata Zaara masih bermain di ruang fikiran. Jauh di sudut hati, dia mahukan caranya iaitu Timba Cari Perigi. Meskipun seakan pelik bunyi peribahasa itu tetapi itulah impian yang diangan-angankan. Selama mana pun dia harus menunggu, dia tidak kisah asalkan dia bukan seperti Geng PCT.

Memandangkan esok kuliah dibatalkan, maka Ayra berhajat untuk pulang ke kampung keesokkan hari kerana dia bercuti selama empat hari memandangkan banyak kelas yang dibatalkan. Rindu pada abah dan emak serta adik-adik. Apa khabar mereka sekarang setelah hampir tiga bulan dia langsung tidak pulang ke kampung. Tidak sabar untuk menamatkan ijazah yang dipikulnya selama beberapa tahun ini. Mujur saja sudah semester akhir dan dia tidak sabar-sabar untuk menabur jasa pada keluarga tercinta.

Setiba di kampung, dia melihat warung milik abah dan emak dipenuhi pelanggan. Gembira rasanya bila warung itu terus menjadi pilihan warga kampung yang sememangnya suka dengan masakan emak dan gemar minum teh tarik hasil air tangan abah. Orang tuanya begitu gigih berusaha untuk membesarkan anak-anak. Saat itu, Ayra seakan menitiskan air mata namun ditahan.

“Assalamualaikum...” Ucap Ayra lalu bersalaman dengan orang tuanya.

“Ayra... Apa khabar? Bila kamu sampai?” Emak memeluk tubuh Ayra dengan erat. Gembira sungguh hatinya dengan kepulangan Ayra.

“Khabar baik, mak. Baru je turun dari bas tadi. Ada apa-apa yang Ayra boleh bantu mak dan abah?” Ayra segera menyimpan begnya dan menyarung apron.

“Ayra tentu penatkan. Mak dan abah mampu buat kerja ni berdua saja. Kamu duduklah berehat. Lain kali barulah kamu tolong kami berniaga, ya.” Emak memimpin tangan Ayra dan abah pula menghidangkan teh panas khas untuk anaknya.

Gadis tinggi lampai itu hanya mampu menurut perintah orang tuanya. Sebenarnya dia berasa begitu letih setelah menempuh perjalanan sejauh lima jam. Mungkin lain kali saja dia meneruskan niat untuk membantu di warung.

Petang yang indah dan nyaman, Ayra Maisha duduk di atas buaian buatan tangan abah. Tenang dan damai berada di kampung halaman. Teringatkan kata-kata Zaara tentang Geng PCT. Dia berangan jika dia menyertai teman-temannya yang sudah berjaya menemui jejaka hati. Oh...Tidak!!! Dia masih ingat akan janji dan impiannya. Biarlah masa yang menentukan hadirnya si dia dalam diari hidupnya.

“Assalamualaikum... Lama tak balik kampung?”

Ayra menoleh memandang seseorang yang sedang memakir basikal tua di bawah pokok rambutan berhampiran tempat dia bermain buaian. Siapa pula yang mengganggunya petang-petang begini. Macam kenal tapi siapa gerangannya?

“Waalaikumsalam.” Itu saja yang mampu dijawab.

“Ingat aku lagi tak?” Lelaki itu merebahkan badan di sebalik pokok durian tempat dia berbuai.

“Err... Kau ni siapa? Maaflah, aku tak ingat.” Jujur saja jawapan Ayra.

“Aku Iqraam Waiz. Kawan kau masa sekolah rendah dulu. Ingat tak?” Iqraam ketawa besar sambil memandang Ayra yang agak pemalu.

“Iqraam Waiz yang selalu bawa bekal makanan ayam goreng tu, ya?” Nada ceria, teruja dan terkejut lahir dari bibir Ayra. Matanya seakan tidak berkelip memandang Iqraam. Berbeza sungguh rupa paras lelaki itu. Segak dan matang meskipun sedikit berisi tubuh badannya.

“Pandai... Akhirnya kau ingat kat aku jugak.” Iqraam berdiri lalu membersihkan seluarnya yang agak kotor terkena tanah.

“Kau buat apa sekarang? Lama tak dengar khabar kau.” Rancak saja Ayra berbicara tanpa segan bila dia sudah tahu gerangan lelaki itu.

“Aku baru habis ijazah. Sekarang ni aku tolong ayah berniaga ayam di pasar. Kami sedang mengusahakan ayam organik. Lagi pun, itulah cita-cita aku, mahu menjadi tauke ayam.” Sekali lagi Iqraam ketawa besar.

“Bagusnya... Tahniah!! Bukan semua pemuda mahukan kerjaya macam kau. Aku bangga dengan kau, Iqraam.” Ayra melahirkan kata-kata yang ikhlas lahir dari hati.

“Terima kasih, Ayra. Aku doakan kau pun akan berusaha untuk memajukan lagi warung Pak Mail dan Mak Milah. Aku yakin yang warung mereka mampu menjadi sebuah restoran jika kau bijak menguruskannya.” Nasihat dari Iqraam tersemat dalam dada Ayra. Benar apa yang dikatakan temannya itu. Tidak ada yang mustahil untuk berjaya.

“Aku cuba dan kau doakan kejayaan aku, ya.” Ayra bangun dari buaian dan membetulkan tudungnya. Lemah lembut saja dia berjalan ke arah pintu rumah.

Iqraam hanya memandang dengan senyuman yang manis lalu beredar memandangkan hampir masuk waktu maghrib. Sebentar lagi dia perlu ke surau bersama ayahnya. Itulah rutin harian jejaka bernama Iqraam Waiz.

“Petang tadi mak nampak kamu bersembang dengan Iqraam. Apa yang kamu sembangkan tu?” Emak menghampiri Ayra yang sedang mengambil angin malam di muka pintu. Emak bosan agaknya menunggu abah yang masih belum pulang dari surau.

“Kami tak sembang panjang pun. Mungkin lain kali baru kami sembang panjang. Lagi pun masa dah suntuk petang tadi.” Ayra menyandarkan kepala di atas bahu emaknya. Rindu dengan suasana malam yang tenang sambil berada di sisi emak.

Kak ngah datang perlahan-lahan lalu mencuit bahu kakak sulungnya. Dia juga sudah lama tidak bermesra dengan kakaknya itu. Masing-masing menyimpan rasa rindu yang mendalam. Tidak terluah dengan kata-kata namun dizahirkan dengan perbuatan. Tangannya mula mencuit pinggang Ayra dan kedengaran jeritan Ayra sehingga emak menyuruh Ayra berhenti menjerit.

“Kamu berdua sembanglah dulu, mak nak ke dapur bancuh teh untuk abah. Kejap lagi baliklah dia tu.” Lalu emak bangkit dan mengundur diri ke dapur.

Ayra memandang adiknya. Sudah lama mereka tidak bersembang dan bertanya aktiviti terbaru masing-masing. Kini dia harus menggunakan masa yang ada sebaiknya.

“Kak long dah jumpa Abang Iqraam petang tadi, ya?” Kak ngah memulakan bicara. Ayra tersenyum bila nama Iqraam disebut.

“Dah lama tak jumpa dia. Rasa seronok pulak bila jumpa kawan lama.” Ayra meluahkan rasa di hati.

“Tak kan rasa seronok je? Rasa yang lain tak ada ke?” Kak ngah menyakat kakaknya. Bukan selalu berpeluang mengusik satu-satunya kakak yang dia ada.

“Rasa apa pulak? Mula nak merepeklah tu.” Jari jemari Ayra ligat bermain dengan cincin kristal biru yang terletak cantik di jari manisnya.

“Hmm... Setakat cincin kristal tu, Abang Iqraam pun mampu bagi cincin emas putih kat akak tau.” Sekali lagi Kak ngah mengusik kakaknya.

“Merepek. Akak nak tolong emak kat dapur.” Ayra terlalu segan untuk mendengar bicara adiknya. Adakah masanya telah tiba untuk dia berfikir jauh tentang dia dan Iqraam atau adiknya sekadar bergurau senda. Iqraam hanya teman lama yang tiba-tiba datang bertanya khabar. Mungkin Iqraam ikhlas dan tiada niat lain.

Ligat saja tangan Ayra menggoreng jemput-jemput ikan bilis untuk dibuat hidangan minum malam. Jika di kampus, dia memang tidak berpeluang melakukan semua ini. Setiap kali perut berkeroncong, dia hanya perlu turun ke cafe dan memesan makanan. Di kampung, Ayra harus melakukan semuanya sendiri.

“Kamu nak tahu tak, Ayra?” Emak menghampiri anak gadisnya.

“Tahu apa, mak?” Ayra semakin pelik dengan perlakuan semua penghuni rumah ini. Sejak dia balik, ada saja yang mereka ingin bicarakan namun dalam nada yang lembut sekali. Bunyinya seperti suatu benda yang serius ingin diperkatakan. Dia semakin bingung dan tidak faham.

“Sebenarnya, si Iqraam tu selalu datang rumah kita.” Kata-kata emak sedikit pun tidak membuatkan Ayra terkejut. Ah!! Mungkin dia datang untuk menghantar ayam kerana abah memang sudah lama berurusan dengan ayah Iqraam. Cuma Ayra sudah lama tidak bertemu Iqraam dan hampir lupa tentang dia.

“Oh, baguslah. Tak sunyi rumah kalau selalu ada tetamu.” Itu saja yang mampu Ayra jawab.

“Esok, mak dengan ayah dia nak datang rumah. Katanya ada hal penting nak bincang-bincang.” Begitulah akhirnya perbualan antara Ayra dan emaknya apabila abah tiba-tiba menjelma di meja makan. Tunggu saja apa akan berlaku keesokkan hari, fikir Ayra.

Makanan tengahari telah siap dihidang di atas meja. Ada lauk pajeri nenas, sayur kangkung goreng belacan, ikan terubuk masin, ayam goreng berempah dan sedikit kuih tradisonal untuk pencuci mulut. Lega rasanya bila semuanya telah siap dan kini menunggu tetamu yang dinanti-nantikan.

Kedengaran suara orang memberi salam dari luar lalu Ayra menyambutnya di muka pintu. Segan? Tidak sekali kerana dia yakin ini hanyalah cuma aktiviti penduduk kampung yang gemar bertandang ke rumah teman-teman. Ayra bersalaman dengan emak Iqraam dan mempelawa mereka masuk. Ternyata orang tua Iqraam menyenangi sikap Ayra yang sopan santun.

Kak ngah datang dari dapur membawa minuman. Perlahan-lahan dia menuang air untuk kedua-dua tetamu mereka termasuk air untuk abah. Kak ngah beredar ke dapur manakala Ayra pula segera bersila di lantai tanpa mempedulikan lirikan mata emak dan abah yang memintanya beredar ke dapur.

“Mak cik apa khabar? Sihat?” Ayra menerjah soalan kepada emak Iqraam yang sedang menghirup teh.

“Sihat, Alhamdulillah. Ayra sihat?” Emak Iqraam terasa senang besembang dengan Ayra.

“Sihat, Mak cik. Dulu masa kecik, saya selalu nampak Mak cik hantar Iqraam pergi sekolah. Sekarang Mak cik masih cantik macam dulu-dulu.” Ayra memuji emak Iqraam yang akhirnya membuatkan mereka semua tertawa mendengar pujian Ayra.

“Terima kasih... Ayra, ambilkan Mak cik air masak, boleh?” Segera emak Iqraam menyuruh Ayra ke dapur memandangkan agendanya dengan orang tua Ayra belum bermula.

“Boleh, sekejap saya masakkan airnya dulu, ya.” Langkah Ayra pantas menuju ke dapur. Dia menurut saja perintah emak Iqraam.

Hampir setengah jam menunggu air masak. Terasa sangat lama dan dia sudah berusaha untuk memasak air dengan pantas. Memandangkan air tapisan sangat perlahan mengalir dari kepala paip dan api yang menyala dari tungku dapur terlalu lambat, segalanya jadi lama.

“Kak, abah dan emak panggil akak. Pergi cepat.” Kak ngah menyampaikan pesan.

Ayra hanya menurut tanpa sebarang kata. Dia benar-benar tidak tahu apa yang akan berlaku. Air masak untuk emak Iqraam dibawa bersama. Diletakkan perlahan di atas meja kopi tanpa memandang sesiapa.

“Mak cik datang ni atas tujuan merisik Ayra untuk Iqraam. Sebelum Mak cik bertanya lanjut, Ayra ni dah ada yang punya ke?” Emak Iqraam menyuarakan hasrat hatinya kepada Ayra yang masih tercegat di meja kopi.

“Apa??” Ayra kaku dan saat itu badannya seram sejuk dan rasa seperti dunia kelam dan gelap.....

Enam bulan telah berlalu, Ayra Maisha telah tamat pengajiannya dan hari ini dia berada di kampung untuk meraikan hari bersejarahnya. Geng PCT dijemput untuk memeriahkan lagi majlis pernikahannya dengan Iqraam Waiz. Zaara? Sudah tentu hadir bersama Zariff. Tanpa teman-temannya, tidak berseri majlis perkahwinan yang berlaku tanpa dirancang dan diduga olehnya.

Zaara selaku pengapit Ayra melakukan tugas dengan baik. Di atas pelamin serba putih dan hijau itu, Ayra kelihatan berseri dengan kebaya songket berwarna krim. Sekali-sekala, Zaara mengelap dahi temannya yang asyik berpeluh. Gemuruh agaknya, fikir Zaara.

“Tahniah Ayra!! Akhirnya kau tak termasuk dalam Geng PCT bila cinta timba cari perigi kau sudah berjaya.” Bisik Zaara perlahan ke telinga Ayra yang akhirnya membuatkan Ayra rasa gembira.

Bahagia kini miliknya bersama dengan Iqraam Waiz namun kebahagiaan itu juga adalah milik Geng PCT bila Sakinah, Athirah dan Hidayah akan menyusul pula selepas ini. Mereka juga berjaya meraih cinta sejati meskipun mereka yang harus memulakan langkah. Apa jua cara sekali pun, semuanya ingin berakhir dengan perkahwinan yang diredhai dan dirahmati Allah s.w.t sentiasa. Ameen...

No comments:

NOTES

NOTES
Jom LIKE page ANNADARLING di Facebook dan nantikan hanya yang exclusive dan terbaik insyaallah dari kami <3