Assalamualaikum... The owner of this blog is R.I.M.A D.A.N.I.A would like to thank you to all the viewers from all over the world.. Never felt hesitate to come again.. I'm always welcoming every single viewers and appreciate it..(^^,)

Monday, May 31, 2010

Dalam Hati Masih Ada Sayang







DARA.COM MEI DAN JUN 2010

Qaisara ligat mengemas buku-buku yang berselerak di atas meja. Malam tadi dia terlalu khusyuk mengulangkaji pelajaran sehingga badannya terasa sangat letih lantas dia merebahkan diri di atas katil tanpa mengemaskan buku-bukunya terlebih dahulu. Kerisauan tentang ujian Kewangan Perniagaan benar-benar menghantui fikirannya.

Seawal jam enam pagi, Sakinah selaku ketua kelas dan teman baik Qaisara telah menghantar mesej kepada Qaisara melalui telefon bimbit berkenaan kelas kewangan perniagaan yang ditunda pada keesokkan hari. Lega sungguh hati si gadis Batu Pahat itu. Dia masih belum berpuas hati dengan sesi ulangkajinya. Masih banyak tajuk yang perlu diberikan perhatian.

“Dah mandi ke belum?” Athirah pura-pura menghidu bau badan Qaisara.

“Belum lagi. Kenapa? Tira nak mandikan Sara ke?” Gurauan Qaisara hanya disambut dengan gelak tawa Athirah.

Dua sahabat itu adalah teman sebilik di Asrama Puteri yang amat sejati. Mereka telah bersama sejak dari semester satu sehingga semester enam yang merupakan semester terakhir untuk mereka berdua menyemai rasa kasih sayang sebagai sahabat. Mereka berdua?? Sudah tentu tidak. Mereka sebenarnya bertiga cuma Sakinah tidak tinggal sebilik dan dia berada di aras tiga Asrama Puteri. Ya!! Mereka bertiga benar-benar bagai isi dengan kuku. Bagi mereka, persahabatan yang dibina tidak ternilai harganya.

“Qaisaratul Hidayah Binti Jasmani...” Teriak Athirah dari arah bilik air asrama. Teriakan temannya itu hampir saja menyentap jantungnya. Separuh bergetar rasanya.

“Ya... Kenapa, Tira?” Qaisara menjengah dari pintu bilik sambil melambai-lambaikan tangan kepada Athirah supaya temannya yang rabun jauh itu terlihat akan kelibatnya.

“Cepatlah mandi. Sekejap lagi, Sakinah nak belanja kita berdua sarapan pagi.” Jeritan Athirah jelas kedengaran dan yang penting, perkataan ‘belanja’ paling cepat sampai ke gegendang telinga Qaisara.

Dia tersenyum gembira lalu mengambil tuala dan baldi. Segera kakinya melangkah ke bilik air. Harap-harap masih ada bilik air yang kosong. Dia tidak mahu teman-temannya menunggu terlalu lama untuk bersarapan pagi. Apa mimpi Sakinah nak belanja pagi ini, ya? Bisik hati kecil Qaisara. Apa yang pasti, hari ini bukan hari jadi Sakinah.

Mereka hanya bersarapan di cafe memandangkan kantin yang berdekatan dengan fakulti mereka tidak dibuka. Sakinah telah memilih untuk sarapan menu nasi lemak dengan teh tarik, Athirah pula mengambil kesempatan dengan memilih nasi ayam lada hitam dan kopi panas manakala Qaisara hanya teringin untuk makan roti canai telur beserta air suam.

Masing-masing berselera dengan hidangan yang dipilih. Qaisara masih pelik dengan tindakan Sakinah. Perasaan ingin tahu semakin kuat.

“Ina, kenapa belanja kami pagi ni?” Qaisara memulakan bicara.

“Kenapa? Tak suka ke Ina belanja?” Sakinah segera menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya. Dia nampak sungguh berselera.

“Jangan cakap macam tu. Kami ni berterima kasih atas kesudian Ina belanja kami makan. Lagipun, bukan senang nak tengok Sakinah Senin belanja kawan-kawan.” Athirah tergelak besar dan hampir saja dia tersedak nasi ayam yang penuh dalam mulut.

“Makan tu sopan-sopanlah. Awak tu anak dara, Tira. Muka lawa tapi kalau makan macam tu, tak ada lelaki yang terpikat tau tak...” Pesan Qaisara lembut.

Athirah hanya menggangguk lemah dan terasa mukanya merah padam bila ditegur teman sebiliknya. Dia mengerti pesanan Qaisara lalu mengunyah perlahan-lahan.

“Ina belanja kamu berdua sebab Hakimi dah terima lamaran Ina..” Sakinah tersipu-sipu malu. Dia segera menundukkan muka. Malu pula untuk mengaku di hadapan kawan-kawan.

Jantung Qaisara berdegup pantas dan dia seperti tidak lalu untuk menyambung suapan roti canai yang terakhir. Hakimi? Hakimi yang aku kenal ke? Qaisara hanya mampu berkata-kata dalam hati.

“Hakimi yang mana? Kat kolej ni bukan seorang je nama Hakimi.” Athirah segera bertanya kerana dia juga mahu tahu jejaka yang mana telah menerima lamaran Sakinah.

Segala-galanya telah diceritakan oleh Sakinah. Memang benarlah Hakimi yang dimaksudkan adalah Hakimi teman baik Qaisara ketika di sekolah menengah. Selepas mendapat keputusan SPM, mereka telah bersetuju untuk memohon untuk belajar di tempat yang sama. Ariff Hakimi!!

Lelaki itu sering berada di samping Qaisara tatkala dia memerlukan bantuan. Lelaki itu juga yang telah banyak mencurahkan kata-kata manis kepadanya. Ariff Hakimi telah memberi terlalu banyak harapan yang menggembirakan hati Qaisara. Harapan untuk bersama suatu hari nanti. Jauh di sudut hati Qaisara, dia mula rasa tertipu dengan kata-kata lelaki itu. Janji bahawa suatu hari nanti Hakimi tekad melamar Qaisara adalah palsu belaka bila Sakinah terlebih dahulu memberanikan diri melamar Hakimi.

Kata Sakinah, zaman sudah berubah. Tiada istilah perigi cari timba. Perempuan juga boleh melamar lelaki tanpa segan silu. Sakinah akui bahawa dia amat meminati Hakimi sejak semester satu lagi. Semester enam merupakan semester yang paling sesuai untuk dia meluahkan perasaan yang tersimpan lama di dalam hati.

Qaisara sama sekali tidak menyetujui tindakan Sakinah meskipun Hakimi telah menyambut baik salam cinta dari Sakinah. Mengapa perlu wanita yang memulakan? Mengapa tidak Hakimi saja yang memulakan langkah itu jika benar Hakimi menyukai Sakinah dalam diam.

Seminggu telah berlalu dan Qaisara lebih banyak termenung dan mendiamkan diri. SMS (Sistem Pesanan Ringkas) dari Hakimi dibiarkan sunyi tanpa jawapan. Tanpa diduga, Qaisaratul Hidayah juga menyukai Ariff Hakimi. Bertahun lamanya dia menyimpan perasaan itu. Malah jauh lebih lama berbanding Sakinah.

Qaisara mahu Hakimi yang memulakan langkah jika benar Hakimi menyukai Qaisara kerana Hakimi terlalu banyak memberi janji manis sehingga janji itu tiada titik noktah dan berterusan sehingga ke saat ini. Mungkinkah ini ujian yang perlu Qaisara hadapi?

Sekali lagi nada dering mesej di telefon bimbit Qaisara berbunyi. Dia perlahan-lahan bangun lalu mengambil telefon bimbitnya di atas meja belajar. Ariff Hakimi lagi yang memberi mesej. Apa lagi yang lelaki ini mahu daripada aku. Tidak sedarkah bahawa kamu benar-benar menguris hati kecilku. Qaisara mengetap bibir menahan sedih.

Kenapa senyap je? Qaisara tak sihat ke?

Itulah dia mesej yang diterima dari Hakimi. Qaisara keliru sama ada mahu membalas mesej tersebut atau membiarkan saja. Bila terkenangkan erti nilai persahabatan, cukuplah dia menghukum Hakimi selama seminggu. Jari-jemarinya segera membalas mesej Hakimi. Biarlah dia menyimpan perasaan kecewa itu sendirian. Tidak perlulah ditonjolkan kepada sesiapa.

Sara sihat. Maaflah dah lama tak balas mesej Kimi. Dalam seminggu ni, Sara sibuk dengan ujian dan projek akhir.

Ujian dan projek akhir memang alasan yang munasabah tetapi kerana kecewa dan sedih adalah jawapan yang lebih munasabah.

Matahari melabuhkan sayapnya lalu memberi laluan kepada bulan dan bintang yang indah sekali. Bagai manik-manik kecil menghiasi langit yang gelap gelita, Qaisara termenung memandang kecantikkan malam itu. Dia teringatkan Sakinah yang baru saja keluar dari biliknya sebentar tadi.

Malam ini, Sakinah dan Hakimi ada temujanji kali pertama di cafe kolej. Sakinah singgah sebentar menemui Qaisara bagi bertanyakan serba sedikit tentang latar belakang diri Hakimi. Maklumlah, Qaisara dan Hakimi teman baik ketika di sekolah menengah dulu, cuma bila di sini, Qaisara lebih rapat dengan Athirah memandangkan mereka mengambil jurusan yang sama.

“Sara... Termenung jauhnya... Dah sampai London ke?” Gurauan Athirah menceriakan sedikit suasana yang agak muram baginya.

“ Ada-ada aje Tira ni tau. Mana ada... Sara terfikir beruntungnya Sakinah dapat Hakimi.” Qaisara cuba menipu hatinya sendiri.

“Untung? Apa benda yang untungnya Sakinah dapat Hakimi? Kalau Tira tau yang Ina nak belanja kita gara-gara dia lamar Hakimi tu, Tira tak nak terima pelawaan dia nak belanja kita berdua..” Lantang saja Athirah si gadis berbadan kecil itu bersuara. Benarkah apa yang ducapkannya atau sekadar menyedapkan hati ini.

“Ishh... Tak baik mengata dia tau. Buatnya dia tengah minum ke, tersedak pula si Sakinah tu nanti.” Giliran Qaisara pula bergurau. Gurauan yang sedikit melegakan hati. Apa salahnya kalau Sakinah tersedak.

Perlukah dia ambil peduli semua itu. Hatinya yang sakit tiada siapa yang ambil tahu. Astaghfirullah... Qaisara mengurut-urut dadanya. Sampai hati dia mahu kawan sendiri tersedak. Namun perasaan marah mengatasi segalanya dan dia merasakan bahawa memang patut Sakinah tersedak.

“Berani betul Ina melamar lelaki. Kalau Tira, Tira fikir masak-masak sampai hangus pun Tira tak sanggup nak mulakan langkah. Sara tak rasa apa-apa ke bila Ina dan Kimi dah mula ada hubungan?” Masih tidak bosan agaknya si gadis berbadan kecil ini bertanya.

“Biarlah... Sara rasa, Kimi memang ada niat nak main-mainkan perasaan Sara. Sara pun tak faham. Selama ni, Kimi anggap Sara sebagai kawan atau sebaliknya. Sara juga tak sangka perangai sebenar Sakinah yang boleh dikategorikan sebagai penggoda.” Qaisara segera mengatur langkah ke bilik air untuk menunaikan solat isyak. Dia harus mencari inisiatif untuk menenangkan hatinya yang terluka. Ya!! Qaisara benar-benar terluka seperti luka yang disimbah garam.

Awal pagi sabtu, lagu nasyid nyanyian kumpulan Brothers bertajuk Teman Sejati berkumandang di segenap ruang bilik Qaisara dan Athirah. Mereka berhibur sepuas hati kerana telah tamat ujian penggal pertama semalam. Meskipun dalam kedukaan, Qaisara dapat menjawab setiap ujian yang diambilnya dengan cemerlang. Prinsip hidupnya, antara pelajaran dan cerita cinta, pelajaran lebih utama kerana pelajaran yang akan menjamin masa hadapannya untuk menjadi Usahawan yang berjaya.

Tiba-tiba dia teringatkan Sakinah. Ke mana hilangnya Sakinah sejak petang semalam. Selepas tamat kertas ujian Percukaian Malaysia, dia terus bergegas dan kelam-kabut keluar kelas tanpa menegur Qaisara mahupun Athirah. Kebiasaannya, Sakinah akan mengekori Qaisara dan Athirah pulang ke Asrama Puteri dan melepak di bilik temannya itu sehingga lewat petang. Kisah-kisah cintanya dengan Hakimi pasti dihidangkan dan perbuatan itu hanya menyakitkan telinga dan hati Qaisara. Dia berasa lega tanpa kehadiran Sakinah dibiliknya. Kadang-kala Athirah juga gemar membuat muka kerana dia tidak menggemari kisah INA dan KIMI.

Tiba-tiba pintu bilik dibuka oleh seseorang. Athirah meneruskan nyanyian manakala Qaisara segera bangun dan berjalan ke arah pintu. Nurin Safuraa dan Nurin Syafiqah rupanya. Si kembar yang menginap di bilik sebelah. Qaisara mempelawa mereka masuk ke dalam bilik tetapi mereka menolak dengan cara yang baik.

“Kak Sara, kami nak tanya satu soalan boleh?” Nurin Safuraa menuturkan kata-kata yang terbuku di hati. Nurin Syafiqah hanya tersenyum disamping kembarnya.

“Adik nak tanya tentang apa?” Qaisara membalas lembut. Si kembar ini baru saja memasuki semester satu.

“Begini... Minggu depan, kami berdua perlu membentangkan tajuk Sifat Berkasih Sayang untuk kelas Pendidikan Islam. Kami nak dapatkan sedikit bahan dari kakak untuk pembentangan tu nanti.” Jawapan yang lahir dari bibir Nurin Safuraa sedikit sebanyak menyentuh hati Qaisara. Mengapa dia perlu terasa juga dia tidak mengerti.

“Adik nak kasih sayang yang bagaimana?” Qaisara bertanya lagi untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat supaya mudah baginya untuk membantu si kembar itu.

“Sifat berkasih sayang terhadap saudara, keluarga, sahabat...” Belum pun Nurin Safuraa menghabiskan kata-katanya, Nurin Syafiqah segera menyampuk...

“Seperti Kak Sara, Kak Tira dan Kak Ina berkasih sayang sebagai sahabat karib...”

Qaisara terdiam. Dia bisu untuk berkata-kata begitu juga dengan Athirah yang tadinya khusyuk menyanyi. Masing-masing mula menyedari kesilapan mereka terhadap Sakinah. Sakinah yang telah mereka jadikan bahan umpatan, bahan untuk berjenaka lalu membina jurang yang jauh sedangkan selama ini mereka bertiga terkenal dengan nilai persahabatan dan kasih sayang yang tidak terhingga. Tatkala itu, mereka mula teringatkan Sakinah. Ke mana perginya dia...

Tengahari yang terik dengan sinaran mentari tidak mematahkan semangat Qaisara dan Athirah untuk mencari bas ke Tangkak. Kehilangan Sakinah telah diketahui melalui Hakimi. Rupa-rupanya Sakinah menghidap lelah. Semalam selepas ujian, Sakinah mendapatkan pertolongan dari pensyarah bagi membawanya ke klinik berdekatan. Selepas itu, pensyarah tersebut telah menghantar Sakinah pulang ke rumahnya di Tangkak.

Akhirnya mereka dapat juga menaiki bas. Setiap detik perjalanan mereka, Qaisara mula dapat merasakan satu arus kemaafan perlahan-lahan menyelinap masuk ke dalam hatinya lalu menjernihkan segala kebenciannya terhadap Sakinah. Dia harus akur dengan tindakan dan takdir yang diperoleh temannya itu.

Qaisara pasti, seandainya Sakinah tahu bahawa dirinya juga menyimpan perasaan terhadap Ariff Hakimi, sudah tentu Sakinah tidak akan mengorak langkah untuk menyatakan isi hatinya kepada Hakimi. Sakinah sama sesekali tidak akan cuba menyakitkan hati teman baik sendiri.

Sakinah tidak pernah tahu isi hatiku. Dia tidak tahu apa-apa. Benar!! Sakinah tidak pernah bersalah dalam hal ini dan aku yang telah bersalah kepadanya. Aku yang hampir memutuskan ikatan kasih sayang kami. Aku tidak seharusnya menimbulkan kebencian terhadap Sakinah kerana dia sahabat baikku. Aku sayangkan Sakinah. Hati Qaisara berkata-kata dan air matanya menitis sayu terkenangkan nasib sahabatnya yang sakit.

Saat itu, dia teringat akan beberapa ciri-ciri orang yang berkasih sayang seperti yang telah dibacanya dalam sebuah majalah dan antaranya adalah pemaaf, mengasihi orang lain seperti mengasihi diri sendiri, bela membela, dan saling prihatin antara satu sama lain. Dia sedar bahawa ke semua ciri-ciri itu hilang dari dirinya malah hilang juga dari diri Athirah. Sifat kasih sayang itu terhakis hanya kerana seorang lelaki bernama Ariff Hakimi.

Perjalanan untuk sampai ke Tangkak terasa jauh. Qaisara tidak putus-putus berdoa supaya dia dipertemukan dengan Sakinah. Mahu saja dia memeluk temannya seerat mungkin seperti awal perkenalan mereka di semester satu. Dia dan Athirah sepatutnya menghargai setiap saat di semester akhir kerana peluang bersama tidak akan kembali kerana sudah tentu masing-masing akan membawa diri selepas tamat pengajian nanti.

Air mata Qaisara menitis lagi. Athirah menggenggam tangan Qaisara dengan penuh rasa sayang. Mereka perlu bertiga semula kerana bila mereka hanya berdua, tidak lengkapkah sebuah persahabatan yang penuh dengan kasih dan sayang yang diimpikan kekal hingga ke syurga-Nya.

2 comments:

sweetness azi sweetness said...

ske bace karya fiya...gud luck for next cerpen!!

Fiya Kamel said...

thanks azi(^^,)!!!

NOTES

NOTES
Jom LIKE page ANNADARLING di Facebook dan nantikan hanya yang exclusive dan terbaik insyaallah dari kami <3