Assalamualaikum... The owner of this blog is R.I.M.A D.A.N.I.A would like to thank you to all the viewers from all over the world.. Never felt hesitate to come again.. I'm always welcoming every single viewers and appreciate it..(^^,)

Wednesday, June 2, 2010

사랑해 (sarang hae) --CINTA SAMA NAMA--


CINTA SAMA NAMA

RIMA DANIA

Pelik betul dengan sikap Mamaku. Kenapa mesti Abang Arif berkahwin dengan anak Datin Miela yang bernama Arifah. Bukan ke Abang Arif sedang hangat bercinta dengan Kak Mariya. Mama bersungguh-sungguh mahu menjodohkan Abang Arif dengan Arifah. Gadis yang sebaya denganku malah kami pernah sekelas semasa di tadika dulu.

Arifah gadis yang boleh dikatakan agak nerd . Kali terakhir aku bertemu dengan Arifah sewaktu aku di tingkatan tiga. Ketika itu teman kami mengadakan jamuan hari jadi lalu menjemput semua teman-teman tadika yang sudah lama tidak ketemu.

Hari itu, Arifah tampil dengan penampilan bertocang dua, berkaca mata tebal, memakai gincu bibir merah menyala malah pemerah pipinya over dengan bentuk bulatan kemerahan di pipi gebunya. Dress polka dot merah hati yang sangat kelakar dengan riben besar berwarna biru di bahagian dada. Nasib Abang Arif jika beristerikan Arifah!

Kata Mama nama yang serasi akan mencantikkan lagi kad kahwin seperti Abang Aqil dan Kak Aqilah juga Abang Afiq dan Kak Afiqah. Kata Mama lagi nama itu juga menjadikan hubungan rumahtangga lebih mesra dan romantik kerana mempunyai nama yang hampir sama. Benarkah? Mungkin itu semua adalah doa Mama agaknya.

“Dah cari nama anak?” Soal Mama pada Abang Afiq. Sementara itu Kak Afiqah sedang menidurkan puteri sulungnya. Baru dua hari yang lepas Kak Afiqah bersalin di hospital dan Mama mahu Kak Afiqah berpantang di rumah kami.

“Belum lagi, Ma. On the way lah ni nak mencari nama yang sedap dan simple.” Jawab Abang Afiq lalu mencuit pipi montel anaknya.

“Ha, Mama ada cadangan!! Apa kata letak nama Afiqie Bin Afiq. Panggil dia Iqie.” Mama memandang cucunya dengan senyuman puas hati. Abang Afiq dan Kak Afiqah saling berpandangan dengan wajah tidak puas hati.

Afiqie? Hahaha... Aku yang hanya duduk berdiam diri di sisi katil sejak tadi sudah mula ketawa terbahak-bahak sehingga mahu pecah perut rasanya. Macam nama bayi lelaki saja.

“Kenapa kamu ketawa ni, Eqa? Bising tau tak! Baby tak suka bising-bising. Dia nak rehat dan nak tidur.” Mama pula meninggikan suara. Kecil hati Mama agaknya aku ketawakan nama yang dicadangnya.

“Mama dan Eqa jangan risau, ya. Genap seminggu nanti adalah nama yang sesuai untuk bayi Abang Afiq ni nanti.” Itulah Abang Afiq aku. Lembut saja tutur bahasanya.

“Eqa tak kisah pun nama Afiqie ke, Afiqo atau Afiqu ke janji anak buah Mak Su ni sihat.” Aku membalas kata-kata Abang Afiq dan terus bangun meninggalkan bilik mereka. Aku ada misi lain yang menanti.

Hari ini Abang Arif kena blind date dengan Arifah pada jam 8.30 malam bertempat di sebuah restoran mewah yang ditempah Mama semalam. Aku sudah berjanji mahu membantu Abang Arif dengan blind date tersebut.

Sepanjang malam tadi Abang Arif telah bertanya tentang latar belakang Arifah. Aku pun hanya bercerita setakat mana yang aku tahu tentang gadis itu. Lagi pun aku memang tidak rapat dengannya sewaktu di tadika dulu.

“Abang Arif takutlah, Eqa. Seram sejuk dah badan Abang ni tau.” Tiba-tiba Abang Arif muncul dalam bilikku.

“Abang pergi je dulu blind date tu. Kalau Abang tak setuju dengan pilihan Mama, cakap tak setuju.”

“Mariya pulak... Macam mana dengan dia? Apa Abang nak bagi alasan ni? Hari ni ulangtahun tiga bulan kami couple. Minggu lepas Abang dah janji nak bawa dia makan ikan bakar tau.” Abang Arif merebahkan diri di atas katilku. Wajahnya kelihatan tidak tenang.

“Fuyoo... Ikan bakar tu. Kenapa tak bawa Eqa sekali?” Fikiranku mula membayangkan ikan pari yang dibakar. Sedapnya kalau dapat makan dengan nasi lemak bersama sotong goreng dan sayur kailan goreng ikan masin.

“Woi!! Berangan ke? Abang tanya ni macam mana nak bagi alasan kat Mariya tu.” Tinggi saja suara Abang Arif. Memang tidak sama dengan sikap Abang Afiq yang cool.

“Abang jangan risau. Biar Eqa je yang bawa Kak Mariya makan kat tempat ikan bakar. Eqa pandai-pandailah pujuk dia. Ok?” Entah bagus atau tidak cadanganku, aku pun tak pasti.

“Ni siapa yang couple dengan Mariya ni? Eqa ke Abang? Tak payah bawa dia pergi tempat ikan bakar tu. Eqa nak ambil kesempatan, eh? Nak makan ikan bakar percuma pulak.”

“Tadi mintak tolong bagi cadangan. Bila dah bagi, nak marah-marah pulak.” Aku pula naik angin dengan Abang aku yang seorang ini. Cepat saja nak meninggi suara.

“Macam ni......”

.......................................................................................................................................

Malam ini Mama perlu menghadiri bacaan yasin di rumah Mak Long. Jarak rumah Mak Long dengan rumahku cuma selang beberapa buah saja. Pesan Mama padaku jangan lupa siapkan Abang Arif untuk blind date dengan anak tunggal Datin Miela.

Aku mengetuk pintu bilik Abang Arif. Bila aku memulas tombol pintu, tak berkunci rupanya. Aku segera masuk ke dalam bilik abangku. Kedengaran suaranya menyanyi gembira di dalam bilik air. Mandi ke? Aku melihat jam di dinding menunjukkan jam lapan malam. Lagi setengah jam blind date abang akan bermula.

Tiba-tiba, Abang Arif keluar dari bilik airnya lalu....

“Abang! Apa fesyen Abang pakai ni? Betul ke nak pergi blind date dengan muka dan baju macam ni?” Aku terkejut beruk melihat Abang Arif yang kacak seperti penyanyi korea sudah berubah menjadi jejaka nerd.

Hye My Lady. How are you?” Abang Arif berangan-angan di hadapan cermin. Sungguh berbeza wajahnya.

Memandangkan Abang Arif tidak pernah berjumpa dengan Arifah, maka aku yakin ini merupakan satu cadangan yang baik dan bernas dari kepala otak abang aku. Arifah pun apa kurangnya. Sejak tadika memasang angan-angan mahu bersuamikan lelaki kacak dan bergaya malah bijak. Mungkin setelah melihat abang, pasti dia akan menolak meskipun hakikatnya Arifah sesuai dengan lelaki seperti abangku sekarang.

“Eqa tolong hantarkan bunga ros dan coklat ni kat rumah Kak Mariya boleh tak? Abang tak pernah datang rumah dia sebab dia kata nanti family dia marah ada lelaki datang rumah. Kalau Eqa yang hantarkan tak apa sebab Eqa perempuan. Cakap kat Mariya yang Abang Arif ada kerja kat ofis, urgent. Tak dapat nak bawa dia pergi makan ikan bakar. Kirim salam dia, ya.” Begitu panjang pesanan abang.

“Selama ni Abang Arif jemput Kak Mariya kat mana?” Aku musykil juga dengan percintaan Abang Arif.

“Abang selalu ambil dia kat shopping tempat dia kerja tu. Dekat je dengan rumah dia. Jadi dia jalan kaki dari rumah.”

“Yelah... Good Luck!” Ucapku lalu melangkah keluar dari bilik Abang Arif dengan bunga ros merah yang mekar dan wangi bersama coklat berbentuk hati yang diikat riben. Baru bercinta tiga bulan tapi mengalahkan orang yang bercinta tiga tahun.

Ikan bakarlah, bunga ros lagi, coklat dan entah-entah di tempat ikan bakar nanti ada pula iringan violin khas untuk meraikan ulangtahun ke tiga bulan percintaan mereka. Pelik betul aku dengan sikap Abang Arif. First love agaknya. Mujur saja pekerjaan yang di milikinya bagus dan bergaji besar. Spesial sangat ke Mariya tu?

Aku memakai tudung bawal sedondon dengan baju blouse labuh paras lutut berwarna ungu muda dipadankan pula dengan seluar jeans putih. Sebelum keluar dari rumah, aku sempat menjenguk Abang Afiq dan Kak Afiqah di bilik tingkat bawah.

Kak Afiqah sedang menyalin lampin bayinya manakala Abang Afiq pula menyediakan makan malam isterinya. Sungguh romantik pasangan Muhammad Afiq dan Nur Afiqah. Mereka bertemu jodoh bila Mama pernah dirawat di hospital oleh Kak Afiqah.

Kak Afiqah merupakan seorang jururawat di sebuah hospital swasta. Ketika itu Mama mengalami demam panas dan Kak Afiqah antara jururawat yang merawat Mama. Perkenalan itu membuatkan Mama jatuh hati pada tingkah laku Kak Afiqah lalu merisik Kak Afiqah bagi pihak Abang Afiq.

Abang Afiq tidak menolak memandangkan dia juga amat senang melihat Kak Afiqah. Hanya mengambil masa sebulan saja mereka pun bertunang. Selepas enam bulan, mereka berkahwin namun selepas dua tahun berkahwin barulah mereka berjaya menimang cahayamata sulung yang sangat comel.

Akhirnya aku pun sampai di hadapan rumah Kak Mariya. Rumah kos rendah yang penuh dengan kotak-kotak di hadapan rumahnya. Keluarga Kak Mariya berniaga agaknya. Lebih baik aku letak dulu bunga dan coklat dalam kereta. Nanti famili Kak Mariya kata apa pula.

“Assalamualaikum...” Aku memberi salam.

“Waalaikumsalam. Ya, cik cari siapa?” Seorang wanita keluar dari rumah dan menghampiri aku yang tercegat di hadapan pagar rumahnya.

“Saya nak jumpa Mariya. Dia ada kat rumah?” Aku berterus terang saja bagi menyenangkan kerjaku. Mungkin wanita ini kakak kepada Mariya.

“Saya Mariya... Ada apa hal cik nak jumpa saya?” Jawab wanita itu.

Hah? Ini ke Mariya yang Abang Arif sayang sangat? Kenapa nampak macam jauh lebih berusia dari Abang Arif?

“Sayang... Siapa yang datang tu? Kenapa tak jemput kawan masuk? Jangan tercegat je kat luar rumah.” Seorang lelaki menjengah di muka pintu sambil mengendong seorang anak kecil.

“Mariya... itu suami awak ke?” Tanyaku dengan nada hairan.

“Ya, itu suami saya dan anak kecil tadi tu anak lelaki saya. Jemputlah masuk.” Jawab Mariya tenang lalu membuka pintu pagar untukku.

Sungguh aku terkesima dengan apa yang aku alami saat ini. Aku terkejut dengan nasib yang menimpa Abang Arif. Mengapa dia mudah tertipu dengan Mariya yang sudah bersuami malah mempunyai cahayamata. Apa tujuan Mariya menggoda abangku? Apa lagi yang Mariya nak sedangkan dia sudah memiliki seorang suami yang lemah lembut tingkah laku.

“Mariya... Saya berterus terang saja dengan awak. Sepatutnya malam ini awak ada date dengan Muhammad Arif. Betul tak?”

“Ha? Mana awak tahu ni? Tapi Arif dah batalkan date kami petang tadi. Awak ni siapa? Apa kena mengena awak dengan Arif?” Mariya mula menggelabah dan air mukanya nampak sangat serabut dan tidak tenang.

“Saya Aneeqa, adik perempuan Arif. Arif minta saya hantarkan bunga dan coklat untuk awak tapi sekarang saya rasa hadiah tu tak layak diberikan kepada perempuan macam awak. Dah berkeluarga tapi masih ada niat nak cari teman lelaki. Ingat!! Jangan ganggu abang saya lagi!” Segera aku meninggalkan Mariya yang menangis teresak-esak di tepi pagar rumah tanpa sebarang kata.

Setiba aku di rumah, Abang Arif masih belum pulang. Coklat dan bunga yang sepatutnya diberikan kepada Mariya, perlahan-lahan kuletakkan di atas katil Abang Arif. Kasihan Abang Arif. Mengapa begitu buruk nasibnya. Bagaimana pula dengan blind date bersama Arifah. Semoga semuanya berjalan dengan lancar. Ya Tuhan... Tabahkan hati abangku.

.......................................................................................................................................

Morning semua... Mana Abang Arif?” Tanyaku lalu menarik kerusi sebelah Mama di meja makan.

Hari ini Mama masak nasi lemak sambil dibantu Bibik. Ada juga donat sambal dan karipap. Pastinya kuih-muih ini juga air tangan Mama. Aku segera mencapai donat sambal dan menjamah dengan penuh berselera. Namun fikiranku masih memikirkan tentang Abang Arif. Kenapa dia langsung tak turun bersarapan bersama kami.

“Abang Arif kamu ada kat bilik. Pergilah ajak dia sarapan sekali.” Kata Mama dan dengan pantas aku berlari memanjat tangga.

Semput juga berlari tadi. Aku mengetuk pintu bilik Abang Arif tetapi dibalas sunyi tanpa jawapan. Aku memulas tombol pintu biliknya. Ah! Berkunci pula.

“Abang... Ni Eqa. Boleh Eqa masuk?” Jeritku dari luar bilik. Harapanku semoga abang akan membenarkan aku masuk.

Pintu bilik dibuka perlahan-lahan lalu aku melangkah mengikut gerak abang yang lesu. Aku menutup pintu supaya segala perbualan kami tidak didengari. Abang Arif duduk bersandar di atas katil. Aku pula berdiri di tepi tingkap sambil menghirup udara pagi yang nyaman. Aku tahu hati abang tidak setenang hatiku.

“Maafkan Eqa sebab tak dapat bagi Kak Mariya hadiah tu.” Ucapku jujur tanpa berselindung.

Abang Arif terus termenung tanpa membalas kata-kataku. Matanya berair dan menitis satu, dua butir air mata jantannya. Mungkin dia benar-benar terluka. Pasti Mariya telah berlaku jujur terhadap abang setelah apa yang berlaku malam tadi. Terima kasih Mariya kerana melepaskan segala-galanya.

“Abang sabarlah. Eqa tahu Abang tabah. Eqa doakan Abang dapat isteri yang sempurna dalam hidup Abang biar pun makan masa yang lama untuk Abang berjumpa dengan permaisuri Abang tu. So, macam mana dengan Arifah?” Tak sabar pula aku mahu mengetahui cerita tentang blind date Abang Arif dan Arifah.

“Nanti bila Abang dah bersedia nak cerita, Abang sendiri akan datang cari Eqa.” Abang Arif merebahkan badannya di atas katil lalu menutup mukanya dengan bantal. Aku faham dengan isyarat yang diberi lalu melangkah keluar dari bilik.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sudah dua hari berlalu dan Abang Arif masih mahu bersendirian di dalam kamar bujangnya. Aku tidak menyangka kekecewaan Abang Arif akhirnya membuatkan dia jatuh sakit. Abang demam sejak dua hari lepas. Aku dan Mama yang menjaga Abang. Namun segala rahsia cuma aku dan Abang Arif saja yang tahu. Biarlah perkara itu menjadi rahsia kami berdua.

“Afiq, pergilah pujuk adik kamu tu. Kenapa dia berdegil tak nak bagi tahu Mama apa masalah dia sampai sakit demam. Kalau sebab blind date dengan Arifah tu, cakap dengan dia Mama mintak maaf banyak-banyak. Mama tak sangka sampai jadi macam ni. Mama cuma nak yang terbaik untuk anak-anak Mama.” Mama menyatakan apa yang terbuku di hatinya. Kasihan Mama yang seakan menyalahkan dirinya sendiri. Aku tahu memang Mama sentiasa mahukan yang terbaik untuk permata hatinya.

Aku mengajak Mama minum petang di laman rumah. Bunga ros putih dan merah sedang kembang mekar saat ini. Indah, tenang dan nyaman saja senja di sini. Aku tahu semua ini tidak akan menenangkan hati Mama. Sedaya upaya aku cuba yang terbaik semoga dapat mengubat sedikit luka di hatinya.

“Eqa... Semua ni salah Mama, ya?” Mama memulakan bicara. Kopi yang terhidang di hadapannya tidak diminum.

Aku menghirup kopi yang masih panas. Berkepul-kepul asap yang keluar dari cawan seramik bercorak English Style. Set cawan kesayangan Mama yang dihadiahkan oleh Abang Aqil dan Kak Aqilah ketika mereka pulang dari England lima tahun yang lalu. Abang sulungku menetap di sana memandangkan isterinya berasal dari sana meskipun berbangsa melayu.

“Mama tak bersalah pun dalam hal ni. Mungkin Abang Arif memang tak sihat. Bukan sebab blind date yang Mama aturkan tu. Anak Datin Miela tak ada cakap apa-apa ke tentang Abang Arif?” Aku mencapai pula biskut marie.

“Malam tadi Datin Miela ada call Mama. Dia kata si Arifah diam je lepas balik dari blind date tu. Dia pun sama terperap kat bilik tapi tak lah sampai demam macam Abang Arif kamu. Antibodi tak kuat langsung. Lembik! Baru date sikit dah demam.” Ujar Mama. Geram juga ya dia dengan Abang Arif walaupun ada secebis rasa bersalah.

Aku tertawa melihat wajah Mama yang tiba-tiba berubah jadi marah. Apa saja Mama, janji Mama tak sedih-sedih lagi, ya. Sudah lama aku tak bertemu Arifah. Mungkin juga Abang Arif demam kerana melihat Arifah yang berkaca mata tebal dan berbaju agak ketinggalan zaman bersama dengan tocang dua yang setia di kepalanya. Tak mustahilkan?

“Malam ni Datin Miela dan Arifah akan datang rumah kita. Mereka nak melawat Kak Afiqah dan Abang Arif. Mama lega juga mereka nak datang rumah. Mama tak kisah samada Abang Arif kamu nak terima Arifah atau tidak. Apa yang penting persahabatan Mama dan Datin Miela akan terus kekal sampai bila-bila.” Kata-kata Mama sungguh mengejutkan aku. Arifah dan ibunya akan datang ke rumah kami malam ini? Aku juga risau kalau demam Abang Arif makin bertambah.

“Serius ke Mama? Betul ke mereka nak datang?” Aku sungguh tidak percaya dengan kenyataan Mama.

“Eh, yelah... Memang dua beranak tu yang cakap sendiri dengan Mama. Katanya nak ziarah Abang Arif yang demam mengada-ngada.” Jawab Mama dan terus bangun meninggalkan aku yang masih blur.

Bibik datang mengemas meja kopi di laman. Aku kembali ke kamar. Aduh! Boleh lupa pula assignment secara berkumpulan usahawan tak siap lagi. Mati aku! Kerja ini perlu dihantar lagi tiga hari. Sempat ke tidak aku nak siapkan. Walaupun berkumpulan, tapi cuma ada dua orang saja ahli kumpulan. Aku dan si bajet bagus. Ya! Si bajet bagus! Aku memang tidak sebulu dengan dia. Asyik kena ikut idea dia saja. Idea aku semua tak bagus langsung.

Nampaknya esok hari Isnin aku kena juga ajak si bajet bagus pergi perpustakaan. Kalau tidak, macam mana nak settle kerja-kerja usahawan yang masih tertunggak. Pensyarah bagi tempoh sebulan tapi si bajet bagus bercuti empat hari. Asalnya kami nak siapkan lebih awal tapi semua hasrat ini tak tercapai sebab si bajet bagus terpaksa pulang ke Australia. Dia bukan orang putih pun cuma ahli keluarganya menetap di sana dan dia tinggal di sini bersama sepupunya yang merupakan teman sekolej kami.

“Assalamualaikum... Fiq, sepupu kau dah balik Malaysia ke belum?” Aku menelefon Taufiq sepupu si bajet bagus.

“Semalam dia dah sampai. Kenapa kau tak telefon dia terus? Bergaduh lagi ke?” Teka Taufiq dan kedengaran gelak tawa Taufiq di hujung talian.

“Mana aku tak marah kalau asyik kena ikut idea dia saja. Idea aku langsung dia tak nak terima. Tak ke bajet bagus namanya tu.” Aku melepaskan keluhan pada Taufiq.

“Bawa bersabar, ya. Tak sah kalau tak bergaduhkan. Aku kahwinkan jugak budak dua orang ni nanti.” Taufiq menyakat aku. Taufiq memang seorang yang sentiasa cool. Aku selesa berkawan dengan Taufiq.

“Lebih baik aku kahwin dengan kau, Fiq. Aman dan damai hidup aku dari kahwin dengan si bajet bagus tu. Menyampah!!” Aku melepaskan geram pula kali ini.

“Esok aku suruh Mak aku pinang kau, ya. Boleh kita kahwin cepat sikit. Biar terbeliak mata si bajet bagus tu kan.” Taufiq ketawa berdekah-dekah. Sikit pun aku tidak ambil peduli dengan kata-kata Taufiq yang suka bergurau.

“Dah jangan nak mengarut lagi. Tak pasal-pasal kredit aku habis. Kau pesan kat sepupu kau tu, esok aku nak dia pergi perpustakaan kat kolej kita. Aku nak discuss pasal kerja usahawan. Assalamualaikum...” Aku segera mematikan telefon setelah memberi salam.

Meja belajar yang berselerak dengan buku dan kertas usahawan kukemas. Aku memang tak boleh siapkan kerja ini seorang diri. Aku perlukan dia untuk turut sama membantu walaupun aku selalu bengang dengan dia. Aku tahu si bajet bagus sentiasa mahukan yang terbaik dalam setiap kerja yang dibuat dan kerana itulah dia selalu mendahului cgpa di dalam kelas kami.

Selepas menunaikan solat isyak, aku segera menyarung t-shirt merah jambu dan seluar jeans. Sebentar lagi Datin Miela dan Arifah akan sampai. Tak sabar rasanya aku ingin melihat Arifah. Arifah si nerd. Aku tertawa kecil mengenangkan majlis hari jadi teman beberapa tahun yang lalu. Arifah tercegat seorang diri di ruang tamu rumah teman kami. Tiada yang sudi beramah mesra dengannya. Aku ada juga menegur tapi Arifah yang pemalu sukar dibawa berbual.

“Eqa... Arifah dah datang ni. Turun cepat!” Jeritan Mama kedengaran. Aku segera menyarung tudung bawal putih dan berlari menuruni anak tangga.

“Assalamualaikum...” Ucapku lalu bersalaman dengan tetamu yang di nanti-nantikan.

“Jemputlah duduk.” Abang Afiq menjemput kedua tetamu duduk. Kelihatan Kak Afiqah berjalan perlahan-lahan menghampiri kami sambil mengendong bayinya. Abang Afiq segera menyambut bayi mereka dan menjemput Kak Afiqah duduk.

“Arifah mana? Dia tak datang sekali?” Tanyaku hairan. Kenapa Arifah tak datang sedangkan dia sepatutnya ada.

“Saya Arifah... Awak Aneeqa kan?” Gadis yang bertudung litup, berbaju kurung menjawab. Ha? Arifah ke? Kenapa macam model? Ala-ala iras Wardina Safiyyah lagi. Cantiknya.

“Ya, saya Aneeqa.” Aku tak tahu nak cakap apa lagi memandangkan sangat terkejut dengan kecantikkan Arifah. Nak dibandingkan dengan Kak Mariya memang Arifah jauh lagi cantik. Hari yang aku datang jumpa Kak Mariya, dia cuma memakai t-shirt dan berkain batik dengan rambut kerinting yang diikat sanggul. Sungguh macam ibu-ibu saja Kak Mariya tapi mungkin bila keluar date dengan Abang Arif, dia touch-up lawa-lawa jadi tak nampak macam mak orang atau bini orang.

“Dah lama ke Arifah sampai...? Kenapa tak mesej handphone Abang bagi tau dah sampai.” Kedengaran suara Abang Arif dari arah anak tangga. Lembutnya suara Abang Arif. Kelembutan suaranya menggoda. Abang Arif duduk di sebelahku yang bertentangan dengan Arifah. Cemburunya aku melihat lirikan mata dan senyuman manis Abang Arif untuk Arifah. Aku pun boleh cair macam ini. Antara abang-abang aku yang tiga orang, memang tak dinafikan Abang Arif paling kacak sebab dia seorang saja berwajah pelakon Korea dan berkulit cerah. Kulit aku pun tak secerah Abang Arif.

“Baru je sampai. Abang Arif dah sihat?” Pertanyaan Arifah membuatkan Mama dan Datin Miela segera mengalihkan perhatian kepada Abang Afiq dan Kak Afiqah bersama bayi comel yang belum bernama itu. Aku pula tak tahu nak buat apa lalu bangun meninggalkan ruang tamu dan membantu Bibik menyediakan makan malam di dapur.

Spaghetti Bolognese menjadi hidangan dengan sedikit agar-agar koko sebagai pencuci mulut. Masing-masing mengambil tempat duduk dan seperti biasa aku suka duduk sebelah Abang Arif. Aku gemar meminta Abang Arif menuangkan air untukku, menghulurkan makanan, menambahkan makanan ke dalam pinggan malah aku suka bila berpeluang disuap Abang Arif.

“Eqa, tu tempat Arifah. Mari sini duduk sebelah Mama.” Mama menegurku lalu aku tertunduk malu. Salah tempat ke? Bukan ke setiap hari aku akan duduk di sini. Aku segera bangun beralih tempat duduk.

“Eh, tak apa Mak cik. Saya tak kisah nak duduk mana-mana pun. Biar Eqa duduk sebelah abang dia.” Arifah cuba back up aku dan aku tak berapa suka dengan cara ini. Aku segera meneguk air sirap limau dan membuat suapan spaghetti yang pertama.

“Lapar sangat ke, Eqa? Tengok tu makan pun comot. Tengok Arifah makan tak comot pun. Sopan je dia makan.” Usik Abang Afiq dan semua tertawakan aku. Aku jadi bengang dan sangat bengang!

“Dah nak jadi tunang orang kenalah berperangai matangkan, Arifah. Model pulak tu. Lagi kena jaga adab.” Kata Mama. Arifah tersipu-sipu malu lalu memandang ibunya yang turut tersenyum.

Ha? Apa? Tunang? Arifah dan Abang Arif aku jadi juga ya? Sungguh doa Mama sangat mustajab. Berkuasa sungguh doanya. Abang Arif akhirnya terbuka pintu hati untuk menerima Arifah. Arifah yang dulunya aku kutuk nerd dah jadi model sekarang rupa-rupanya. Patutlah cantik dan pandai make-up lagi. Kalau kahwin pun tak perlu upah Mak Andam.

Jam 11 malam Datin Miela dan Arifah pulang ke rumah. Abang Arif, Abang Afiq dan Mama yang menghantarnya. Aku hanya melihat dari tingkap di ruang tamu rumah. Kak Afiqah seakan perasan dengan perasaan cemburuku.

“Kenapa ni, Eqa? Macam tak suka je Arifah jadi kakak ipar?” Kak Afiqah menghampiriku. Nyenyak bayinya tidur dalam dakapan umi tersayang selepas disusukan.

“Ha? Eh, taklah. Eqa suka. Dia cantik, baik, lembut, bekerjaya dan sesuai dengan Abang Arif.” Sungguh aku cemburu sebenarnya tapi aku bersyukur kerana Abang Arif kelihatan sangat gembira dengan kehadiran Arifah. Demamnya surut, makannya bertambah malah sangat berselera. Mulutnya juga seperti biasa ramah dan gemar bercerita macam-macam sehingga menceriakan tetamu kami.

“Baguslah macam tu. Arifah baik orangnya. Insyaallah boleh jadi isteri yang sempurna untuk Abang Arif dan ipar yang baik untuk kita.” Ujar Kak Afiqah yang sedikit melembutkan hatiku untuk menerima Arifah sebahagian dari ahli keluarga kami.

Aku mencium pipi si comel yang sedang tidur dan segera naik ke bilik untuk tidur. Esok aku kena ke kolej dan sibuk dengan kerja-kerja usahawan malah perlu bertemu pula dengan si bajet bagus. Tak suka!!!

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Selepas turun dari bas, aku segera berlari menuju ke kelas. Pagi tadi seisi rumah terbangun lambat. Aku juga yang jadi mangsa menghadiri kuliah lewat. Lewat seminit tak mengapa tapi aku dah terlewat sejam. Mesti Puan Normala yang garang akan marah aku depan pelajar-pelajar lain. Mati aku!!!

Aku segera mengambil tempat di bahagian belakang kelas. Tiba-tiba Puan Normala menghampiriku. Gerun rasanya nak pandang muka singa betina yang seorang ini.

“Perut awak dah baik?” Itulah soalan yang lahir dari bibir Puan Normala.

“Ha? Err..” Aku tak tahu nak jawab apa. Apa kena mengena aku datang lewat dengan perut dah baik. Aku betul-betul tak faham.

“Aneeq kata pagi tadi dia nampak awak pergi klinik. Dia bagi tahu saya yang awak ada juga contact dia dan mengadu yang awak cirit-birit. Jadi awak datang kuliah lambat sikit. Tak apa, awak berehatlah kalau tak dapat tumpu pada kuliah saya hari ni. Awak boleh pinjam nota Aneeq untuk buat rujukan.” Panjang lebar pula Puan Normala bercakap dengan aku.

Aneeq? Apa-apa sajalah mamat si bajet bagus tu. Nak tolong aku ke atau nak kenakan aku. Cakap aku cirit-birit pula. Bila masa entah aku cirit-birit. Aku memandang si bajet bagus yang sedang menumpukan perhatian terhadap kelas Puan Normala yang mengajar subjek akaun.

“Ambil berat juga, ya Abang Sayang kau tu...” Mazni berbisik ke telingaku. Apa benda pula budak sebelah aku merepek.

“Siap tahu kau cirit-birit lagi.” IliSyafika pula menyampuk. Saja nak buat aku naik angin agaknya. Bukan mereka tak tahu aku memang tak boleh sekepala dengan si bajet bagus.

Selepas kuliah tamat, aku segera ke kafe kolej. Lapar pula perut sebab tak sempat bersarapan di rumah. Maklumlah nanti perut masuk angin lagi susah. Apa-apa pun, sebelum nak mula buat kerja aku kena makan! Ya! Makan! Sedapnya dapat makan Nasi Ayam Lada Hitam dengan Air Jagung.

“Eqa... Eqa!!!”

Siapa pula jerit-jerit nama aku. Aku menoleh mencari suara itu. Hah! Si bajet bagus rupanya. Mematahkan selera aku saja tengok muka dia. Apa yang dia nak agaknya.

“Makan dengan I... Lepas tu kita pergi library sama-sama.” Si bajet bagus memberi cadangan. Aku hanya mendengar cadangannya tanpa sebarang kata lalu mengikutnya mencari tempat makan yang kosong. Lihat!! Gadis-gadis memandang aku dengan wajah cemburu. Aku dapat makan dengan jejaka pintar di kolej ini. Pintar ke? Ah! Bajet bagus adalah!

You nak makan apa?” Si bajet bagus bertanya. Aku hanya menunjuk ke arah kedai Cik Nani Ismail. Kedai yang hanya menjual menu nasi ayam dan nasi ayam kegemaran aku adalah Nasi Ayam Lada Hitam.

You nak yang mana? I pun nak makan nasi ayam jugak tapi I suka yang Black Pepper. You pulak?” Si bajet bagus memandang tepat ke arah anak mataku. Ah! Silaulah! Cakap pun nak renung-renung orang. Entah apa-apa saja.

Tak boleh jadi macam ini. Apa yang aku suka, itu juga yang dia suka. Aku nak order makanan lain kalau macam ini. “ I nak Nasi Goreng Ikan Masin kat kedai Cik Mai tu. Lagi satu, I nak Air Jagung.”

Si bajet bagus segera menurut perintahku. Angin apalah dia nak makan dengan aku. Bukan aku nak belanja pun. Makan dengan aku tak best. Aku makan comot dan tak sesopan Arifah, bakal kakak ipar tersayang. Aku melihat saja gelagat si bajet bagus terpaksa ke hulu hilir membeli makanan dan air lalu menghantar ke meja kami.

Selepas 15 minit menunggu, akhirnya hidangan yang ditempah telah tersedia di hadapan kami. Aku memandang Nasi Ayam Lada Hitam milik si bajet bagus. Sedapnya... Sepatutnya menu itu menjadi santapan sarapan pagiku dan bukan sarapan pagi si dia. Ah! Menyesal pula tukar menu.

“Kenapa you tak makan? Kenapa you renung nasi I? Ayam I hidup, ya?” Si bajet bagus ketawa besar. Lawak sangatlah agaknya. Aku tak ketawa pun.

“Kenapa diam je ni? Makanlah. Sekejap lagi kita nak siapkan kerja usahawan.” Si bajet bagus menadah tangan membaca doa makan dan menghirup teh panasnya.

Tiba-tiba, dia menarik pingganku yang berisi Nasi Goreng Ikan Masin dan menolak pinggan Nasi Ayam Lada Hitamnya ke arahku. Perlahan-lahan dia menjamah nasi goreng itu dengan penuh berselera. Dia tahu aku nak nasi ayam juga rupanya. Aduh! Memalukan betul. Aku pun satu, kenapa nak buat perangai macam budak-budak. Please jadi matang macam Arifah. Dia sebaya aku tapi dah nak kahwin. Aku pula masih dengan perangai ke anak-anakkan.

“Alhamdulillah kenyang dah. Sedap juga Cik Mai ni masak nasi goreng.” Si bajet bagus mengucap lafaz syukur lantas memuji masakan Cik Mai. Pasti Cik Mai bangga dengan pujian ini.

Aku mengelap bibir dengan tisu dan menghabiskan titisan Air Jagung yang terakhir. Memang sedap betul menu hari ini. Balik rumah nanti aku tak kempunan nak makan nasi ayam Cik Nani Ismail.

Kami memulakan kerja usahawan dengan tekun. Aku lebih banyak membisu berbanding selalu. Kebiasaanya aku gemar memberikan idea dan saling membangkang idea si bajet bagus. Masing-masing mahu menang dan inginkan yang terbaik. Cuma hari ini aku betul-betul tak ada mood dan hanya menurut perintah. Si bajet bagus juga bersikap pelik. Dia belanja aku makan, sekarang mahu mendengar idea dariku pula. Dia kata idea aku kadang-kadang bernas dan boleh dipakai cuma perlukan sedikit penambahan agar lebih mantap. Betul ke? Mujur saja dah semester akhir. Lepas itu aku tidak bertemu dengan si bajet bagus lagi. Pandai nak komen-komen orang pula.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“Maya Maisha... Puteri yang hidup gembira sepanjang hayatnya.” Begitulah jawapan yang diberikan oleh Kak Afiqah apabila ditanya. Hari ini hari jadi Maya yang pertama. Sekejap saja masa berlalu dan Maya kini berusia setahun.

Kami mengadakan majlis hari jadi Maya atas permintaan Mama. Selain itu, kami adakan juga kenduri kesyukuran untuk Abang Aqil dan Kak Aqilah di atas kepulangan mereka ke tanah air dan bakal menetap di sini bersama cahayamata kembar mereka manakala Abang Arif dan Arifah pula tidak lama lagi mereka akan bergelar mama dan papa. Baru dua bulan berkahwin, Arifah disahkan mengandung. Bukan main teruja Abang Arif. Habis semua rakan-rakan sepejabat dijemput datang.

Aku benar-benar gembira dengan apa yang berlaku. Aku bersyukur atas segala pemberian nikmat Tuhan yang tidak terhingga terhadap setiap ahli keluargaku. Abang Aqil dan Kak Aqilah akhirnya pulang juga ke tanah air setelah lima tahun meninggalkan kami semua. Malah ini pertama kali aku memeluk dan mencium anak buah kembarku. Pasangan kembar lelaki yang sangat cerdik seperti Mummy dan Daddynya. Kegembiraan Abang Afiq dan Kak Afiqah yang menunggu dua tahun untuk kelahiran permata sulungnya. Cinta sejati antara Abang Arif dan Arifah yang pernah membuatkan aku cemburu suatu masa dulu. Mereka juga sedang menunggu untuk menjadi Mama dan Papa.

Ah! Apa yang aku menungkan. Banyak lagi pinggan mangkuk yang perlu dibasuh. Aneeqa dah join Bibik didapur memandangkan yang lain sibuk dengan anak masing-masing dan melayan tetamu. Bukan selalu pun kena basuh pinggan mangkuk banyak macam ini. Sekali-sekala buat senaman tangan pun bagus.

“Eqa.. Fiq datang ni. Tinggalkan pinggan mangkuk tu dulu, layan kawan-kawan.” Jerit Mama dari arah ruang tamu. Aku segera membasuh tangan lalu mengemaskan sedikit diriku yang comot.

Bila tiba di muka pintu, aku terlihat kelibat Taufiq. Aku menjemputnya masuk ke dalam rumah.

“Sekejap... Aku tak datang sendiri. Tunggu driver cari parking.” Taufiq tidak bersendirian rupanya. Baguslah bawa kawan, mana tahu aku boleh berkenalan. Tiba-tiba tersangkut. Ha! Tahun depan, aku pula yang kahwin. Haha...

“Ha! Sampai jugak driver aku ni. Susah nak cari parking, ya?” Taufiq menyakat temannya. Aku sedang sibuk menuang air untuk kedua orang tetamuku.

“Assalamualaikum...” Kedengaran satu suara yang menghampiriku. Aku cukup kenal suara ini. Sudah setahun aku tidak mendengarnya.

“Waalaikumsalam...” Aku menoleh, memandang, merenungnya. Sungguh aku menantikan saat ini. Saat dia berdiri di hadapanku. Aneeq! Ah! Si bajet bagus.

“Dah jangan nak berdrama pulak kat sini. Perut aku dah lapar sangat ni. Budak-budak ni dulu gaduh. Hah! Sekarang rindu-rinduan pulak. Tak faham aku dengan Aneeq dan Aneeqa ni. Baguslah nama pun nak dekat dah...” Taufiq membebel lalu memulakan langkah menjamu selera.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“Itu lah... Lain kali jangan cakap tak nak, tak suka, gaduh. Tengok apa dah jadi, kahwin jugak akhirnya.” Taufiq menjadi pengapit Aneeq mula membebel dan tertawakan kami yang sedang bersanding di atas pelamin.

“Aku pun dah cakap dah. Aneeq ni Abang Sayang kau tapi tak percaya. Masin jugak mulut aku.” Si Mazni pengapit aku pula membebel di telinga aku. Ah! Apa-apa saja budak dua orang ini. Sibuk dengan hal rumahtangga orang. Maksud aku... Rumahtangga aku (^^,)!!! Aneeq yang aku menyampah sangat dah jadi suami aku akhirnya. Alhamdulillah sukanya aku.

Selama kami berpisah sejak tamat semester enam Diploma Perakaunan, kami hanya berhubung melalui e-mel. Mula-mula memang aku tidak boleh menerima dia. Namun setelah melihat kesungguhan dia melayan setiap kerenahku, menyatakan hasrat hatinya dengan sepenuh jiwa dan raga, aku kalah pada si bajet bagus. Tak dapat dinafikan bahawa secara perlahan-lahan, aku juga telah jatuh hati padanya dan membenarkan aku menjadi miliknya.

Mama kata dia gembira sangat dengan Aqil dan Aqilah, Afiq dan Afiqah, Arif dan Arifah malah Aneeq dan Aneeqa juga. Mama juga akan terus mendoakan kebahagiaan kami semua. Tercapai juga hasrat Mama mahu menyatukan Cinta Sama Nama. Sayang Mama!!! 사랑해 (sarang hae)


My first long story ever!! 13pages sebenarnya.. So..mengambil masa 2hari.. Kepada nama-nama yang telah digunakan..Thanks for sharing your name..Love u all my friends..Khas untuk kamu semua..(^^,)!!!


NOTES

NOTES
Jom LIKE page ANNADARLING di Facebook dan nantikan hanya yang exclusive dan terbaik insyaallah dari kami <3